Tuesday, April 28, 2015

Pokok Tin Vern Brown Turkey

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,

“Demi buah tin dan demi buah zaitun” – Surah at-Tiin, ayat 1.
Subhanallah, buah ini disebut di dalam kalam-Nya. Ternyata peri banyaknya khasiat dan nutrisi buah yang disebut sebagai Ficus carica (dalam Bahasa Latin) ini.

Menurut seorang sahabat baik yang menunaikan haji pada tahun lepas, buah ini sering menjadi pilihan para jemaah haji bagi dijadikan buah tangan, selain kurma dan kismis. Di Mekah mahu pun Madinah, buah ini ternyata mudah dicari di kedai-kedai sekitar masjid dan penempatan para jemaah.

Di Malaysia, kini penanaman buah tin mula mendapat perhatian pekebun-pekebun kecil. Ramai yang terjebak dan teruja dengan fenomena baru ini untuk menikmati buah tin daripada laman sendiri termasuklah diri saya sendiri. Sebelum membeli pokoknya (yang agak mahal) saya mengambil kira beberapa faktor seperti di bawah :

1. Penjual yang diyakini dan dapat memberi nasihat dan sokongan selapas jualan
2. Harga yang sesuai dengan saiz pokok
3. Varieti yang mudah dijaga dan sesuai dengan yang baru pertama kali nak tanam seperti saya
4. Kaedah dan pembungkusan penghantaran yang selamat dan tidak merosakkan pokok (sebab pokoknya mahal!)

Selama dua bulan saya mengumpul maklumat. Membaca di blog-blog dan mengamati komen-komen di FB serta bertanya rakan-rakan kebun (yang bukan penjual) tentang perkara-perkara di atas. Saya memilih untuk membeli pokok dan bukan keratan. Akhirnya saya membeli varieti Vern Brown Turkey dari FB Stevia Healthysweetness dari Sarawak iaitu Joyce. Kak Joyce seorang yang baik dan tidak lokek ilmu. Dia menjaga pokok yang ingin dibeli sehingga stabil dan kemudian barulah diposkan. Pembungkusan yang amat kemas dan rapi. Saya memilih brown turkey kerana menurut pakar yang berpengalaman, ia tahan lasak, mudah dijaga dan sudah serasi dengan cuaca di negara kita. Bacaan lanjut tentang pemilihan varieti boleh dirujuk di sini.


Gambar-gambar perkembangan sepohon Vern Brown Turkey di laman rumah.
Sudah 4 bulan ia mendiami Petak Hijau












Sehingga bertemu lagi! :)

Tukang kebun Petak Hijau,
Awin

Friday, April 24, 2015

Jagung bandaran

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua,

Subhanallah.
Semakin cepat masa berlalu.
Sudah hampir di hujung minggu.
Perlu audit diri ini selalu.
Sebagai hamba, bersyukurkah aku?

Sebagai mama, adakah aku penyayang?
Sebagai isteri, adakah aku menjaga kehormatan?
Sebagai anak, adakah aku bertanya khabar mak di kampung?
Sebagai kakak, adakah aku mengambil berat?
Sebagai jiran, adakah aku bertegur sapa?
Sebagai rakan, adakah aku mendoakan rakan-rakanku yang lain?

Beberapa hari ini kebelakangan ini saya dapat berehat dari menyiram pokok kerana Allah turunkan rezeki hujan yang lebat. Jika tidak menyiram, pada waktu paginya saya akan meninjau-ninjau pokok di depan rumah. Tak banyak dah pokok di laman rumah. Bendi dah di hujung kitar hidupnya. Belum mula menyemai pokok baru dek kerana kesibukan dengan tugasan harian di rumah.


Sepatutnya jagung glass gem rainbow ini berwarna-warni yang terang. Tak mengapalah, yang penting boleh makan. Alhamdulillah, jagung ni tak rongak seperti jagung black aztech. Isinya padat dan rapat. Suka anak-anak dapat makan jagung tanam sendiri. Biji benihnya saya beli daripada seorang rakan di FB. Benih heirloom katanya, Saya menunggu Diana buka tawaran biji benih jagung kampung baka dari Sabah. Anak-anak sangat suka makan jagung. Memang puas hati tanam sendiri. Jagung asing ini menghasilkan sebiji sahaja setiap pokok :) perlu tetap tersenyum dan bersyukur. Itu tanda Allah sayang. Suruh belajar dan mencuba lagi untuk mendapat hasil yang lebih baik.

Jagung Glass Gem Rainbow yang seakan kaca setelah direbus

Glass Gem Rainbow Corn

Black Aztech


Black Aztech

Jagung Black Aztech

Jagung Black Aztech setelah direbus



Sehingga bertemu lagi.

Tukang Kebun Petak Hijau,
Awin


Tuesday, April 7, 2015

Dapat nikmat, ingat Pemberi nikmat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada kawan-kawan sekalian,

Sudah masuk bulan keempat saya menjadi pekebun sepenuh masa. Alhamdulillah saya sungguh bahagia kerana dapat bermain tanah, menatap dan membelek tanam-tanaman sesuka hati saya :) Aktiviti kebun selalunya dilakukan pada sebelah pagi dan terhad kepada aktiviti menyiram dan mencabut rumput rumpai. Kawasan Petak Hijau tidaklah besar, tetapi terasa banyak yang tidak sempat dilakukan. Tiba-tiba terfikir, bagaimanakah tukang-tukang kebun yang mempunyai kawasan yang luas menguruskan kebun mereka sendirian. Kagum!

Sudah masuk minggu kedua hujan setiap hari di Pinggiran USJ. Alhamdulillah, aktiviti menyiram boleh diabaikan ketika ini. Masa yang terluang itu boleh digunakan untuk menyelesaikan  kerja-kerja tertunggak di dalam rumah. Rasulullah mengajar kita untuk berdoa ketika hujan turun. Doanya ringkas dan mudah untuk dihafal. Jom kita hafal dan amalkan. 



[ Sumber ]

Hari ini terasa buntu untuk menyediakan santapan malam untuk keluarga. Terus keluar ke laman sambil kepala ligat mencari idea. Alhamdulillah, hari ini dapat menuai roselle, asparagus Jersey Giant, daun kari, tampaka, ulam raja dan pudina. Daripada hasil tuaian ini dah tahu nak padankan dengan apa yang ada di dalam peti ais. Tampaka mahu diletakkan dalam sayur tau miu. Tampaka sangat baik untuk menambah hemoglobin darah. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut. Penjagaannya juga sangat mudah. Pokok yang menghuni di Petak Hijau ini pun dibiarkan saja tanpa belaian. Tidak semua hasil tuaian tampaka akan digunakan. Satu hari satu bawang tampaka akan diletakkan sebagai rencah dalam sayuran.




Sehingga bertemu lagi! :)


Tukang Kebun Petak Hijau,
Awin