Sunday, April 20, 2014

Rimbunan telang di batang pokok

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Mempunyai ruang yang terhad untuk bercucuk tanam menjadikan otak ligat berfikir untuk memaksimakan seberapa banyak ruang untuk tanaman makanan. Maka, pokok telang yang dahulunya mendominasi pagar sebelah kanan, telah saya alih ke batang pokok depan rumah untuk memberi ruang kepada sengkuang untuk menjalar.

Saya telah berjumpa dengan seorang rakan kebun yang menggunakan kacang bunga telang dalam masakannya. Ada sesiapa dari kalangan rakan kebun yang juga makan kacang dari pokok telang ini? Boleh kongsi cerita masakan?






Friday, April 18, 2014

Semaian suku kedua tahun 2014

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung yang dikasihi Allah,

Suku pertama tahun 2014 telah meninggalkan kita. Kini masuk suku kedua tahun 2014. Masa bergerak begitu pantas. Mengingatkan diri sendiri dengan Surah Al Asr yang jika dihayati begitu mendalam sekali maksudnya.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Berikut adalah semaian untuk suku kedua tahun 2014. Bismillah. Hujan yang hampir setiap hari turun membasahi bumi memberi harapan untuk tanaman-tanaman di Petak Hijau. Hampir kesemua biji benih yang disemai dibeli daripada kebunbahagiabersama.blogspot.com. Terima kasih Diana kerana sentiasa memberikan hadiah setiap kali saya membuat pesanan pokok dan biji benih. Diana juga tidak lokek ilmu. Selalu juga mengadu dengan Diana itu ini pasal tanaman dan cambahan yang tidak menjadi. Diana yang sabar tak jemu membalas soalan-soalan yang tidak mencabar itu :) Saya harap Kebun Bahagia Bersama akan terus maju memberikan peluang untuk pekebun amatur seperti saya untuk memperolehi biji-biji benih heirloom yang semakin susah didapati. Jazakallahu khairan.
Semaian dalam kulit telur. Sangat menghargai pertolongan Mr Chef yang sudi memenuhi macam-macam permintaan isterinya ini untuk pecahkan telur ayam elok-elok (semasa memasak) supaya boleh dikitar semula jadi tempat semaian. Tanaman yang disemai adalah pattypan squash scallop yellow, zuchinni golden arch crookneck dan lemon cucumber. Semua biji benih dari kebunbahagiabersama.blogspot.com



red capsicum dari pasa, pot marigold, red okra, tomato tiny tim, sweet red cherry tomato, tomato broad ripple yellow currant, baby blue jade corn dan indian corn wampun. Semua biji benih kecuali capsicum dibeli dari  dari kebunbahagiabersama.blogspot.com

Biji-biji benih terpilih. Cantik pula bekas pin orange raya cina yang diambil dari pejabat awal tahun ini.


Selingan Jumaat :



Thursday, April 17, 2014

Hasil tuaian hijau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Hasil tuaian malam 19/3/2014 untuk yong tau foo - Bendi, kangkung dan bayam amaranth. Daun bangun-bangun untuk direbus, airnya diberi kepada anak yang tengah batuk dan selsema ketika itu.


Hasil tuaian 30/3/2014 - Cili, bendi, daun sup, bayam amaranth, bayam hijau daun bulat, asin-asin dan tatsoi.


Hasil tuaian 12/4/2014 - Cili, daun sup, daun bawang dan pucuk ginseng jawa untuk dimasukkan dalam mee hailam.


Tuesday, April 15, 2014

Kotak herba Mr Chef

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Mr Chef telah menginspirasikan kepada saya sebuah kotak herba ciptaannya. Sebagai Chef of the house, yang suka masak makanan barat, kotak herba ini memang sangat berguna diambil hasilnya untuk masakannya :) Kids dan saya memang dah jadi peminat setia masakan barat Mr Chef. Hujung minggu lepas apabila kami ke Jaya Grocer untuk membeli beberapa barang organik untuk projek baru saya, Mr Chef sempat meninjau dan membeli herba-herba kegemarannya. Katanya nak cuba tanam :) Nanti apabila kotak herba kedua dah meriah saya kongsikan ceritanya pula.

Kata Mr Chef, pokok herba tidak perlulah ditanam banyak kerana penggunaannya hanya sedikit. Lagipun ruang kebun kami tidaklah besar nak menampung segala jenis tumbuhan. Jadi kotak herba yang comel ini memang praktikal dan sesuai untuk Petak Hijau.

Gambar bertarikh 24/3/2014 - Sweet large italian basil dan thai basil.


Gambar bertarikh 5/4/2014 - Sudah merimbun. Ada tambahan pokok pudina di kanan bawah. Ditanam daripada keratan batang yang dibeli di pasar.

Sunday, April 13, 2014

Span basuh pinggan dari petola sarang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Saya mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman pada cuti sekolah yang lepas. Destinasi pertama kami pada hari Khamis itu adalah Alor Star, rumah mertua saya. Sempat saya mengambil pokok pandan dan akar seruntun untuk ditanam di Petak Hijau. Esoknya, kami pulang pula ke Sungai Petani, rumah mak saya. Singkat sahaja masa cucu-cucu nak bermanja dengan Tok Wan kesayangan.

Masa kami terhad. Kami perlu pulang kembali ke Shah Alam pada hari Sabtu. Jika berada di Sungai Petani, lazimnya, saya gemar meronda ke serata pelusuk tempat yang bertanah, sambil dalam fikiran merangka-rangka tentang tanaman yang bakal ditanam. Di Sungai Petani (rumah mak saya), terdapat sepohon pokok inai yang sudah tinggi separas bumbung. Selalunya saya tidak peduli sangat tetapi pada hari itu, saya teruja melihat 6-7 biji petola sarang yang sudah tua di atas pokok inai. Tanpa berlengah lagi saya mengait buah-buah tua yang berada di puncak pokok inai tersebut. 

Hati melonjak gembira apabila petola sarang yang telah tua itu telah memberikan banyak biji benih dan span pembasuh pinggan saya yang baru! Alhamdulillah, tidak perlu lagi membeli Scotch 'N' Brite. Jimat selama setahun!


Gembira rasa di hati melihat petola sarang tua ini blink blink macam melihat emas!



Setelah dibersihkan, cantik berseri span pembasuh pinggan yang baru ini.





Sekarang musim buah mempelam di rumah Opah Zah. Kami pun turut serta Cik Ain yang mengandung makan mempelam cicah gula letak kicap dan hirisan cili. Jika ada Pak Teh mesti lagi rancak makan cicah ni. Tahun ni Opah Zah buat hard pruning. Banyak pucuk-pucuk terbit dari dahan. Buah-buah berjuntaian unik keluar dari dahan!



Ini adalah satu pokok kuinin daripada tiga pokok depan rumah. Buahnya lebat! Alhamdulillah. Nanti dah masak, ada aroma semulajadi depan rumah Opah Zah :) Kene cari tiket keretapi, perlu balik kampung nak makan kuinin!