Episcia mempunyai daun yang diselaputi bulu halus berwarna perang. Sekali pandang, teksturnya adalah seperti baldu. Corak daunnya sangat unik. Bertambah unik apabila urat daunnya yang tengah berwarna seakan warna perak. Episcia mengeluarkan bunga seperti serombong berwarna merah terang yang menarik. Terus saja saya beritahu bapa untuk ambil pokok ini. Pokok ini tumbuh merata-rata di Petak Hijau Muhibbah di rumah bapa mertua. Pokok hiasan ini adalah sejenis pokok merayap yang mengeluarkan sulur yang boleh dipotong untuk tujuan pembiakan. Pokok ini sesuai ditanam di kawasan yang terlindung daripada panas matahari terik. Jadi saya tanam di kawasan backyard belakang rumah yang agak terlinding daripada panas matahari terik. Saya suka Episcia kerana ia hanya memerlukan penjagaan yang minimum. Jadi dapatlah saya bertumpu kepada tanaman makanan yang lebih utama :)
Saya tanam pokok ini di dalam pasu Baba gantung self watering. Pasu ini sesuai untuk kaedah vertical gardening sebab air siraman lebihan tidak akan tumpah jatuh ke pasu di bawahnya. Cuma yang perlu dirisaukan adalah ia menjadi tempat pembiakan nyamuk kerana air lebihan akan di takung dalam tempat takungan. Pasu ini dibeli di MY DIY Seksyen 19 Shah Alam dengan harga RM6.90.
Bunga dan daun sama-sama cantik.
Backyard ini adalah sebahagian daripada dapur kami cuma ia dipisahkan dengan sliding door yang besar sehingga ke siling. Ia adalah backyard yang tertutup dan di atapi dengan bilah-bilah besi yang disusun berjarak setengah kaki untuk tujuan keselamatan. Jika belok kanan, ia adalah tempat saya menyidai pakaian. Glass box digunakan di sebelah kiri untuk pencahayaan yang baik di backyard ini. Konsep backyard sisi tertutup dan terbuka di atas ini adalah idea Mr Chef. Katanya sambil memasak bolehlah menikmati pemandangan tanam-tanaman. Semenjak berkebun, backyard comel ini menjadi tempat saya menyemai. Backyard ini juga adalah tempat kids makan aiskrim. Kurang sikit kerja-kerja membersih oleh mamanya :)