Saturday, August 16, 2014

Cerita raya di Bukit Jenun, Pendang, Kedah, Malaysia

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Bukit Jenun merupakan kampung Tok Wan Mr Chef. Tempat nostalgia arwah mak Mr Chef yg juga tempat kegemaran anak-anaknya. Kami pergi pada hari raya kedua. Anak-anak bangun awal pagi seperti biasa teruja nak pergi rumah Tok Nab. Tok Nab menjamu kami dengan lemang, rendang daging, rambutan dan buah jentik-jentik. Sambil kami suami isteri bersembang mesra dengan Tok Nab sebab sudah lama tak berjumpa, anak-anak pula sibuk keluar rumah mengejar ayam dan itik. Tak lama lepas tu mohon pula nak masuk reban ayam. Oh anak-anak bandar! Teringin juga rasanya nak bela ayam dan itik sendiri.

Anak-anak juga telah menghabiskan lemang dan rendang Tok Nab yang  sedap. Sejak daripada itu asyik minta nak makan lemang saja apabila balik ke Lembah Klang. Sebelum pulang Tok Nab bekalkan kami dengan lebih kurang 20 biji telur ayam kampung dan buah jentik-jentik. Alhamdulillah. Bekalan organik dan berkhasiat dari Bukit Jenun, Pendang, Kedah, Malaysia!


Anak-anak teruja menjentik-jentik kulit buah jentik-jentik ini supaya dapat makan isi di dalamnya. Ada rakan Instagram yang mencadangkan agar buah ini dibuat sos pasta! Macam sedap juga.

Telur ayam kampung pemberian Tok Nab. Perasaan macam dapat telur emas.


Kedamaian sawah padi

Perbincangan adik-beradik di tepi reban ayam. Sungguh tertarik dengan jaring seperti jala ini. Jaring ini bukan besi. Tiba-tiba saya dapat idea untuk digunakan di Petak Hijau untuk tumbuhan memanjat.

Arnab pun ada juga. Macam-macam haiwan!



Di depan reban ayam juga mahu bergambar!


Memori beraya tahun ini dari hari pertama ke hari kelima, diabadikan di dalam sebuah scrapbook untuk subject English. Syukur Alhamdulillah, ada kisah untuk dinukilkan.



Thursday, August 14, 2014

Resepi bubur bayam berkhasiat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Terima kasih, jazakallahu khairan kepada rakan-rakan yang masih sudi menjenguk blog saya yang biasa- biasa ini. Saya masih aktif berkebun cuma tidak sempat mengemaskini entri di blog ini. Saya hanya sempat membuat laporan tanaman di Instagram dengan nama Petak Hijau. Rakan-rakan yang mempunyai Instagram sudi-sudikanlah komen di ruangan komen di Insta Petak Hijau, nanti saya akan follow rakan-rakan ya. 

Alhamdulillah, bekalan bayam sentiasa ada di Petak Hijau sejak ia ditanam. Ia mudah ditanam dan dijaga. Jika dibiarkan berbunga mengeluarkan biji benih, maka banyaklah anak-anak pokok yang akan tumbuh merata-rata berdekatan dengan pokok induk. Jika rajin mengalih, banyak juga hasil yang diperolehi. Sejak akhir-akhir ini, saya agak sibuk dengan kehidupan harian. Tak sempat nak mengalih anak-anak pokok yang tumbuh merata-rata. Kami sekeluarga memang suka bayam jenis ini.  Maka, kerajinan perlu ditambah untuk mendapatkan hasil kebun yang lebih banyak :) Man jadda wa jada.

Pada hujung minggu yang lepas, Mr Chef kurang sihat. Kerajinannya memasak juga merudum jatuh. Makanya, pada Sabtu yang lepas, dengan proaktifnya pada awal pagi saya telah menyediakan bubur nasi bayam yang berkhasiat untuk sarapan pagi dan juga makan tengah hari. Saya bukanlah seorang yang pandai memasak. Apabila masak pasti tak berenggang dengan buku resepi di sebelah :) Resepi bubur nasi ini saya ambil daripada laman web aininizainal.com dengan sedikit olahan mengikut selera keluarga. Untuk penyediaan makanan yg sihat dan home remedy, bolehlah lawati laman web ini. Banyak yang saya belajar dan cedok ilmu daripada situ.

Alhamdulillah. Mr Chef yang sedang batuk dan selsema dan tak lalu nak makan, tambah sampai 2 kali penuh mangkuk. Syukur, ia memenuhi selera ahli keluarga. Setakat ni dah dua kali buat atas permintaan mereka. Cubalah.....

Bayam yang telah dialih cepat membesar. Jangan biarkan ia berbunga nanti dah tak berapa sedap sebab batangnya berserat sikit.

Alhamdulillah. Memang besar -besar dan segar bugar daunnya hasil baja tahi ayam.


MyPetakHijau Nutritious Porridge Recipe.


Wednesday, August 13, 2014

Sengkuang pelbagai saiz

Assalamualaikum dan salam sejahtera rakan-rakan pengunjung,

Saya kembali dengan mukadimah pasal hasil sengkuang :) Sengkuang memang mudah ditanam dan mudah dijaga. Setiap kali menanam sengkuang saya mendapat hasil dan bentuk yang berbeza. Kali ini hasil tuaian sengkuang memberikan saiz yang paling besar setakat ini. Sengkuang ini saya tanam di atas tanah dan bukan di dalam bekas. Agak teruja melihat saiz sengkuang yang jauh lebih besar daripada di pasaraya T&T berhampiran rumah saya. Yang bersaiz kecil tu saya tanam dalam pasu, di bawah frangipani kuning. Memang ligat melilit fragipani sehingga sudah tak nampak rupa frangipani. Saya tuai sengkuang ini sudah agak lewat. Sudah hampir 8 bulan. Mungkin sudah berserat. Memang tujuannya nak buat pecal. Hujung minggu ini pasti buat!
Hasil tuaian sengkuang yang paling besar setakat ini. Biji benih pun banyak terhasil walaupun banyak bunga yang dicantas untuk mendapat sengkuang yang lebih besar. Tip dari kebunbahagiabersama.blogspot,com.


Sengkuang pelbagai bentuk yang ditanam di dalam pasu