Sunday, September 29, 2013

Rosy Radish penambat hati

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kawan-kawan kebun dan pengunjung-pengunjung blog yang saya hormati,

Saya kurang pasti benih radish merah ni dari tanamsendiri.com ataupun Kebun Bahagia Bersama. Stok benih sedang beratur untuk digunakan, ambil dan tabur tanpa nak tag nama. Sambil nak pergi pejabat atau keluar rumah hujung minggu masih sempat tabur biji benih (yang mana sempatlah kan). Rosy Radish ni saya semai pada awal atau pertengahan Syaaban 1434H. Memang cepat membesar dan perlu dialih untuk tumbesaran yang sempurna. Jika saya tidak mengalihnya mungkin tidak membesar seperti ini. Saya katakan begini kerana, ada sepokok yang saya tidak alih dan memang ia tidak membesar pun. Boleh rujuk entri En Is tetang mengalih semaian di sini. Menjaga radish tidak susah. Perlu disiram 2 kali sehari. Kadang-kadang saya siram dengan air pokok kiambang kerana kandungan kalium yang tinggi membantu untuk pertumbuhan akar. Maka ia sesuai digunakan untuk sayuran akar. Maklumat lanjut tentang kalium sebagai nutrien tumbuhan boleh dibaca di sini. Rosy Radish juga tidak perlu menunggu lama untuk menuai hasilnya. Dalam masa satu setengah sehingga 2 bulan sudah boleh dituai. Memang puas hati tanam radish bagi pekebun amatur macam saya ni. Saya suka! Sila cuba tanam ye kawan-kawan.


Rosy Radish segar lazat apabila dimasak dengan rumpai laut hitam. Saya lihat Mr Chef masukkan juga kurma China untuk rasa manis. Memang sedap! Jika bersekempatan nanti saya kongsi resepi yang Mr Chef guna di blog ini.
Hasil tuaian yang disebelah rosy radish tu cuba cik puan/ tuan semua  teka,
pokok apakah ia :)
Entri seterusnya kita cerita :)
Jawapan siapa betul dapat hadiah misteri daripada saya,
Cik Puan yang baru balik dari Australia tak aci jawab ye :)



Sekelompok Rosy Radish dalam polisterin. Saya tuai secara berperingkat. Sehingga entri ini ditulis, kawasan ini telah kosong.



Thursday, September 26, 2013

Hasil sengkuang yang memberangsangkan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Cerita saya menuai sengkuang adalah cerita lama. Saya nak juga cerita tentang hasilnya yang memberangsangkan. Saiz yang menjadi tidaklah besar cuma saya sungguh seronok dan teruja kerana dapat makan sengkuang tanam sendiri. Dah hampir-hampir lompat bintang dah semasa menuai hasil :) Saya tanam sengkuang dalam bekas sahaja. Letak bekas tanaman dekat-dekat dengan tempat yg ia boleh panjat. Boleh baca di sini tentang pokok sengkuang sebelum dituai. Sengkuang mudah ditanam. Disebabkan ia adalah sejenis pokok kekacang, ia boleh membaiki struktur tanah bak kata Tukang Kebun Diana. Mari kita menanam sengkuang kawan-kawan! Psst....boleh beli benih di Kebun Bahagia Bersama ya!



Monday, September 23, 2013

Kobis kembang semangkuk

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Biji benih kobis ini saya minta rakan sepejabat yang tinggal di Cameron Highland belikan. Saya hanya cuba-cuba saja nak tanam dan tidak mengharap sangat. Syukur alhamdulillah, ia dapat membesar sehingga hari ini. Saya semai semasa penghujung Syaaban 1434H. Saya memang tak tahu kobis akan jadi kembang semangkuk sebegini.Sepatutnya dijarakkan jauh sikit lagi. Nampak sempit sangat dah dalam ruang yang tak berapa nak besar tu. Bersabarlah dalam bersabar wahai kobis-kobis kesayanganku ;)

Dalam cuaca kering, panas dan tak hujan tapi mendung macam sekarang ni, tak tahulah nasibnya akan tertutup atau terbuka macam ni saja. Pada saat ini, pokok inilah yang menjadi kesayangan ;) Ditanam di atas raise-bed di hujung pagar depan. Rupanya macam bunga ros besar. Kembang mekar menyambut tetamu di pagar depan. Saya letak baja kompos sekali sahaja semasa mengalih pokok. Lepas tu memang tak sempat nak letak baja. Disebabkan masa yang agak terhad di kebun, ada seorang kawan memberi cadangan menggunakan serbuk darah ikan jenama Yates. Hanya letak dalam tangki pengairan dan dah tak perlu fikir tentang letak baja. Ada kawan-kawan pernah guna tak baja Yates jenis ini?


Friday, September 20, 2013

Berakhirnya musim sayur Pak Choy

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Pak Choy ini benihnya daripada Kebun Bahagia Bersama. Saya semai benihnya semasa awal Ramadhan 1434H. Pak Choy ini tahan cuaca panas. Semasa pulang kampung beraya, kami tinggalkan segala tumbuhan depan rumah dengan sistem pengairan buatan sendiri oleh Mr Chef. Syukur alhamdulillah kebanyakan tumbuhan dapat bertahan termasuklah pak choy ini. Seronok dapat hasil macam ni :) Syukur alhamdulillah.






Apabila berakhirnya musim sayur Pak Choy, dah tak banyak tinggal tumbuhan yang ada. Masih perlu banyak belajar dengan rakan-rakan tukang kebun, cara untuk memastikan hasil tanaman sayur berpanjangan dengan tempat yang terhad. Perlu cari ilmu lagi. Jalan terus :)




Thursday, September 19, 2013

Hasil tuaian jagung pembuka bicara

Assalamualaikum,
Sudah lama tidak berkarya di Petak Hijau. Rindunya! Petak Hijau masih memberikan hasilnya cuma tidak semeriah dulu. Tukang kebun Petak Hijau agak kesuntukan masa untuk menjalankan aktiviti berkebun dengan giat. Dalam hati sungguh, semasa cuti ingin meluangkan masa berjemur melayan pokok-pokok tanaman. Sungguh ingin menyemai benih tumbuhan. Tapi apakan daya, masa tidak mengizinkan untuk aktiviti tersebut. Sedih.

Benih jagung ini daripada Kebun Bahagia Bersama. Banyak yang disemai, tetapi hanya sepokok yang tumbuh dan membesar dan mengeluarkan hasil 2 biji jagung. Setelah dituai, secepat kilat saya terus merebusnya. Masyaa Allah, sungguh sedap. Tidak seperti yang dibeli di kedai. Rasanya, lemak-lemak manis. Walaupun saiznya lebih besar sedikit dari lengan Muaz berumur 8 tahun tetapi puas dapat makan hasil jagung tanam sendiri. Alhamdulillah. Perlu usaha lagi. Jalan terus.