Saturday, August 29, 2015

Making laptop flashcard using old calendar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Hujung minggu ini mari kita menghabiskan masa yang berkualiti membuat Art and Craft bersama anak-anak. Ini adalah satu contoh hasil yang mudah dan murah. Ini adalah tugasan sekolah Muaz dalam subjek komputer. Para pelajar perlu membuat flash card untuk contoh-contoh peranti Input, Output dan Storan. Hanya menggunakan kalendar dan washi tape dapatlah hasil yang sebegini. Printer juga diperlukan untuk mencetak apa yang perlu. Washi tape yang cantik-cantik dan murah boleh dibeli di Instagram Shop - nukunuku.washi dan wtc.heydiyers.

Idea upcycle juga boleh memberi idea yang sangat murah kepada ibubapa untuk membuat flashcard untuk anak-anak yang sedang belajar membaca. Keyboard tu hanya cari dalam internet dan print ikut lebar kalendar. Seronok pulak anak-anak main keyboard sambil tekan-tekan meskipun keyboard yang dicetak sahaja. Budak-budak zaman sekarang!

Jangan dibuang kalendar lama ya!





Sehingga berjumpa lagi dan selamat berhujung minggu!


Friday, August 28, 2015

Eksperimen yang membuahkan hasil

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah, pagi tadi anak-anak menjerit kegembiraan melihat hasil daripada eksperimen mereka menanam bendi menjadi. Sungguh teruja mereka berdua terutamanya SmallKid. Pada mulanya mereka semacam pelik melihat kawasan sebelah kanan kelihatan cerah. Mereka sangka mama telah membuang pokok yang mereka tanam. Sebenarnya saya cantas dahan-dahan kecil pokok bunga white butterfly yang sudah terlampau bushy. Sebab itulah kelihatan terang benderang ye anak-anak :)

Jom ajak anak-anak menanam bendi :)

Happiness


Balik dari sekolah terus membelek pokok bendi.





Mulberi sungguh meriah berbunga kali ini setelah dicantas

Petak Hijau Kiri - Semua pokok nak sumbat masuk

Kesesakan pokok di Petak Hijau kanan :)




Sehingga berjumpa lagi ya!





Thursday, August 27, 2015

Misi menambah skil : Ketupat telur naga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pembaca sekalian,


Pada Syawal yang lepas, saya telah belajar menganyam ketupat menggunakan daun kelapa daripada seorang jiran yang serba boleh iaitu Kak Rose. Alhamdulillah di kejiranan saya ini ramai yang stay-at-home-mother, jadi memang banyak yang saya boleh belajar daripada mereka. Perlu PM dan bertanya sahaja untuk belajar. Sepatutnya saya yang pergi ke rumah Kak Rose, tetapi Kak Rose tersangatlah baik sanggup datang ke rumah dan ajar one-to-one disebabkan takut daun yang dibeli kecut jika ia lambat dianyam. Kak Rose telah mengajar saya 3 cara menganyam ketupat. Terdapat lagi 2 jenis ketupat yang belum diajar. InshaAllah, suatu hari akan pergi menuntut jua dengan Kak Rose. 

Skil menganyam ketupat jika tidak dipelajari akan luput dek zaman. Jadi saya agak termotivasi untuk belajar daripada yang pakar. Seronok sungguh jika dah tahu menganyam. Betul kata Kak Rose, jika dah buat satu macam ketagih nak buat lagi dan lagi :) Anak-anak pun berminat. Saya akan perturunkan jua skil ini kepada anak-anak meski mereka kedua-duanya lelaki. Untuk langkah demi langkah boleh cari video di YouTube :)

Jom belajar menganyam ketupat!

Jenis-jenis ketupat yang diajar oleh Kak Rose menggunakan daun kelapa

Ketupat telur naga yang telah berjaya saya buat :)


Sehingga berjumpa lagi,
Awin

Wednesday, August 26, 2015

Pudina kembali subur selepas hujan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Ada rakan di Instagram memberi cadangan supaya pudina dijadikan ulam. Sejak itu, saya gemar memetik pucuk pudina untuk dibuat ulam. Pokok pudina pula lumrahnya, semakin dipetik semakin bushy. Seronok tengok ia gemuk bushy macam ni. Dulu lagi banyak pokoknya tapi kekeringan pada sangkaan saya apabila pulang beraya di kampung seminggu. Dua minggu lepas semasa hujan turun mencurah-curah ke bumi Shah Alam ini, Alhamdulillah dengan kuasaNya pudinaku tumbuh kembali.




Sehingga berjumpa lagi...tata..
Awin



Tuesday, August 25, 2015

Hasil tuaian butter bean

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Pokok butter bean ini diberikan oleh seorang rakan kebun yang sangat baik bernama Azah. Alhamdulillah, pokoknya hidup elok di petak sebelah kanan terkena cahaya matahari pagi. Bunga ungunya juga cantik. Kacangnya besar dan panjang-panjang. Agak lama juga kacangnya boleh dituai, hampir sebulan lebih juga. Saya tuai apabila nampak pod kacangnya macam dah plumpy. Kadang-kadang terjumpa pelbaai jenis belalang bertenggek di atas pokok ini sambil makan daun muda.

Saya belum google lagi tentang cara terbaik memasak kacang ini. Setakat ini saya masukkan dalam masakan kari dan masakan paprik. Pernah juga rebus bersama garam dan makan begitu sahaja. Sedap!





Sehingga berjumpa lagi,
Awin :)


Sunday, August 23, 2015

Rezeki Kapsikum

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Ia bercambah tanpa disemai. Kemungkinan besar ia tumbuh dari sisa kompos yang saya letak di dalam pasu ini. Alhamdulillah. Banyak juga menuai beberapa biji dan sekarang sedang galak berbunga lagi. Kapsikum segar memang manis dan sedap dimasukkan ke dalam salad. Anak-anak pun tak takut nak makan sebab tak pedas. Buahnya comel-comel, padanlah dengan pokoknya. Pernah diserang dengan aphid. Saya buang sendiri aphid dengan tangan beberapa kali kemudian sudah tiada serangan aphid. Kedudukannya yang mendapat cahaya matahari pagi yang banyak menjadikan pokok ini segar -bugar. Ia hanya diberi baja kompos sahaja.







Sehingga berjumpa lagi!
Awin

Saturday, August 22, 2015

Resepi Leek dan telur goreng

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Resepi ini dari MrChef dan selalu dimasaknya sebab dia sangat suka masakan ini. Saya tak pasti dari mana dia dapat resepi. Tapi saya nak rekodkan di sini sebab saya asyik terlupa resepinya. Resepinya mudah tapi entah kenapa tak boleh nak ingat sangat. Saya budak baru belajar memasak :) Nanti tak perlulah WhatsApp MrChef. Jika tidak sedang bermesyuarat pun kena layan pertanyaan isteri :)

Saya belum berjaya menanam leek di Petak Hijau. Teringin suatu hari nanti nak masak resepi ini menggunakan leek daripada kebun sendiri. InshaAllah.



Resepi leek dan telur goreng

 Bahan-bahan
- 2 biji telur
- leek (di potong-potong)
- 5 ulas bawang putih (saya suka letak banyak bawang putih)
- sebiji bawang besar/ bawang holland (MrChef suruh potong bulat hemisfera - saya suka potong dadu sebab senang anak-anak nak makan)
- sebiji cili merah (dihiris)
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- kicap lemak manis secukup rasa
- 1 sudu besar sos ikan
- sedikit garam jika perlu
- 1 sudu teh Chia Seeds

Cara-caranya
1. Goreng telur dengan minyak. Kacau dadar dan ketepikan.
2. Tumis bawang putih, bawang besar dan serbuk lada hitam.
3. Masukkan leek, telur dan cili.
4. Masukkan sos ikan, kicap dan sedikit air dan kacau.
5. Tambah garam sedikit jika tidak cukup masin.

Siap!








Sehingga berjumpa lagi :)
Awin


Friday, August 21, 2015

Idea tempat penyimpanan permainan anak-anak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sudah lebih dari setengah tahun saya menjadi stay at home mother :) Hari demi hari saya mengambil peluang untuk menyusun atur barangan di rumah dengan lebih kemas dan praktikal. Hari ini saya kongsikan idea bagaimana saya menyusun atur barangan permainan anak-anak lelaki saya. Mereka tidak mempunyai permainan yang banyak sebab banyak yang sudah rosak dan saya sudah buang. Kebanyakannya adalah sepatutnya bukan permainan tetapi dijadikan permainan oleh mereka contohnya, batang paip, kayu aiskrim dan batang vakum pun disapunya juga. Ada saja idea untuk mereka bermain.

Saya mencari tempat penyimpanan yang kemas, boleh ditindan dan see-through. Alhamdulillah jumpa container ini di Home Depot My DIY seksyen 19. Saya beli dan menyusun permainan mereka seperti gambar. Apabila anak-anak balik dari sekolah, mereka tersenyum lebar melihat tempat penyimpanan permainan di bilik mereka kelihatan kemas. Harga untuk stack box yang besar adalah RM36.90 satu set dan stack box yang kecil RM22.90 satu set.


Container boleh ditindan

Pembuka di depan yang tidak jatuh kembali apabila diangkar. Senang kids nak pilih-pilih dan tutup kembali.


Container ini beroda. Mudah bagi saya nak gerak-gerakkannya semasa membersihkan bilik mereka.


See through

Sehingga berjumpa lagi!

Awin

Thursday, August 20, 2015

Hatiku berbunga bauhinia kockiana

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung,

Alhamdulillah, pokok bauhinia kockiana dari Kebun Bahagia Bersama telah berputik. Sudah lama saya menunggu bunganya yang sangat cantik.

Isnin yang lepas sambil menyapu-nyapu laman rumah, tergerak hati nak mendongak ke atas. Lama juga merenung melihat objek-objek hijau seakan-akan snowflakes bergayutan di celah-celah daun. Dengan mata yang rabun, diamati lagi. Apabila sudah terasa yakin itu putik bunganya terasa ingin melompat-lompat di situ juga :) Teruja sangat!




Green Snowflakes :)

Wednesday, August 19, 2015

Semaian bendi oleh PetakHijau Junior

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Hari ni nak bercerita tentang kisah dua-beradik yang suka benar membuat pelbagai eksperimen di rumah ni. Ada ekperimen-eksperimen yang mereka buat terpaksa tutup mata sahaja. Kadang-kadang mama naik angin juga sebab habis cecair mandian dalam toilet, cuka dan sodium bikarbonat dikerjakan mereka. Dua minggu ini adalah Science Week di sekolah Muaz. Menjadi-jadi nampaknya ekperimen yang dibuat. Kedua-duanya peminat setia Crazy Russian  di YouTube (i asked them to change to Genius Russian, it is good to give good names to people).

Hasil kerja berkumpulan 3 orang - Ahmads Group untuk Science Week di sekolah Muaz.
Tajuk untuk Year 4 adalah Solar System. Muaz dan Afiq menghabiskan hujung minggu di rumah Ariff untuk menyiapkan tugasan ini. Sebelum itu, saya bawa ketiga-tiga anak ini pergi membeli-belah barang-barang tugasan. Pop Corn buat sendiri dijadikan asteroids. Hasil di dalam gambar belum sepenuhnya siap sepenuhnya. Fakta dan tajuk belum dikemaskini.

Alhamdulillah, Ahmads Group dapat tempat kedua untuk model sistem suria untuk peringkat tahun 4.

Salah satu eksperimen yang dibuat yang memberi kegembiraan ialah menyemai bendi :) Alhamdulillah, bermanfaat juga eksperimen ini. Bolehlah guna untuk stok sayur dapur nanti. Mereka tanam biji benihnya di atas tanah. Dikoreknya sedikit dan di benamkan bijinya ke dalam tanah depan rumah yang agak berpasir itu. Pada mulanya nampak macam tiada harapan nak tumbuh sebab tak siram dan cuaca yang agak panas ketika itu. Alhamdulillah bercambah dan tumbuh dengan subur selepas letak kompos :)



24/6/2015


27/7/2015


17/8/2015

Sehingga berjumpa lagi :)
Awin

Tuesday, August 18, 2015

Pisang nangka organik goreng laku keras

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Pisang nangka organik ini kami beli di Kebun Bahagia Bersama (KBB) hari Ahad yang lepas setelah melihat promosi dari Tukang Kebun Diana di blognya. 15-18 biji pisang dalam satu sisir. Memang berbaloi dengan harga RM5 sesisir. Sebagai seorang pekebun kecil, hasil-hasil organik begini menjadikan diri teruja nak dapatkannya untuk santapan ahli keluarga. Sebelum ini ada sesikat pisang nangka juga dari KBB yang saya buat pengat. Ahli keluarga sangat suka makan. Bertambahlah semangat nak buat lagi pengat pisang untuk keluarga. Hari ini anak-anak minta buatkan pisang nangka goreng lagi. Katanya semalam tak puas makan. Jadi saya gunakan sesikat pisang nangka untuk digoreng untuk sarapan hari ini dan dibawa ke sekolah untuk makan dengan kawan-kawan.

Seperti biasa, pisang yang digoreng laku keras dimakan oleh anak-anak dan MrChef. BigKid mohon lagi nak bawa  bekal ke sekolah. Memang suka benarlah mereka dengan pisang nangka goreng ini. Jika kawan-kawan nak dapatkan hasil organik dari kebun sendiri boleh melawat blog KBB untuk melihat promosi terkini.


Pisang nangka organik goreng menggunakan tepung pisang goreng ADABI

Bekal anak-anak ke sekolah. Nak makan dengan kawan-kawan katanya

Separuh sikat pisang nangka organik yang saya sengaja bagi masak sikit untuk buat pengat.




Sehingga berjumpa lagi,
Awin :)

Monday, August 17, 2015

Hasil tuaian pertama kedondong

Assalamualaikum dan salam sejahtera rakan-rakan sekalian,

Pokok kedondong ini saya beli dengan FB Kasih Herbs Nursery awal tahun ini. Alhamdulillah ia telah berbunga semasa ramadhan yang lepas dan sekarang saya dapat mengutip hasil yang pertama. MrChef sangat suka minum jus kedondong asam boi. Faktor inilah yang mendorong saya untuk menanamnya. Saya juga suka makan buah ini sebagai kudapan. Rasa kelat-kelat masam memang menyelarakan :) Sambil menulis entri ni pun sambil makan buahnya :)

Pokok kedondong ini ditanam di dalam polibeg yang besar. 2-3 minggu sekali saya letak kompos sebagai baja. Ada jiran yang menanamnya tapi untuk menuai pucuknya untuk dibuat ulam. Katanya sedap sangat. Masih belum cuba sebab saya lebih suka nak makan buah daripada pucuknya. Suatu hari nanti mungkin :)




Freshly harvest this morning

Sehingga berjumpa lagi :)
Awin


Tuesday, May 5, 2015

Kami harus bagaimana?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pembaca sekalian,

Ujian demi ujian Allah beri untuk saya menguruskan Petak Hijau. Tatkala hati sedih dengan tanaman yang tidak menjadi akibat diserang perosak, saya jumpa satu hadis ini yang dapat memujuk hati. Setelah mengetahui tentang hadis ini, apabila terlihat serangga perosak terutamanya beluncas sedang memakan daun limau purut dengan rakus, maka dibiarkan sahaja mengenangkan hadis sahih ini. Daun limau purut tu kan banyak. Jarang pakainya. Biarlah ia makan dari luruh daunnya. (Ayat memujuk hati)


Asparagus Mary Washington dan tomato pula diserang fungi fusarium. Hanya dapat menatap sedih daun-daun yang layu itu.

Berkebun itu mendidik kesabaran hati!

Alhamdulillah, dapat juga merasa sebiji tomato ceri :)

Cili padi entah apa yang tidak kena, bunga sahaja banyak tetapi putiknya luruh. Mungkin ia tidak dapat menyerap nutrien. Maka segala macam saya letak - epsom salt, calphos (kulit telur dan kulit pisang yang dipanaskan di dalam oven dan dihancurkan) dan letak kompos juga. Sekarang ada nampak tanda-tanda pemulihan. Alhamdulillah.

Berkebun itu mendidik kita menjadi penyelidik! :)

Cili padi


Ada lagi yang tak perlulah dinyatakan di sini.
Bersiap siagalah dengan hati yang kental jika berkebun, kerana tidak semua yang ditanam akan menjadi.
Jangan patah semangat!

Keghairahan berkebun ini ada turun naiknya juga. Ada masa segala macam benih mahu disemai. Ada masanya, mood nak menyelenggara kebun sahaja - menyiram, merumput dan membelek-belek sahaja. Ada masanya tak turun langsung ke kebun. Apabila banyak tanaman tak menjadi, motivasi diri jatuh merudum.

Apa perlu buat?

Jalan terus :)

Enjoy your life ;)

Terus berkebun :)


Kami ini harus bagaimana ya?

Andai kami lupa, ingatkan
Andai kami leka, kejutkan
Andai kami murka, sejukkan
Andai kami lemah, gagahkan
Andai kami pesong, pimpinkan
Andai kami lapar, suapkan
Andai kami bodoh, geniuskan
Andai kami duka, hiburkan
Andai kami sakit, doakan
Andai kami mati, solatkan
Andai kami jauh, dekatkan
Andai kami terluka, sembuhkan
Andai kami gembira, raikan
Andai kami sibuk dengan dunia, tarbiyahkan
Andai kami salah, maafkan
Andai kami geram, tenangkan
Andai kami mengeluh dengan dunia, tazkirahkan
Andai kami sibuk dengan dunia, tarbiyahkan


Ya Allah,
Andai Engkau telah beri hidayah kepada kami, usahlah Engkau pesongkan hati-hati kami lagi ya Allah, ya Rahman, ya Rahim


[Nukilan : Aishah Yusoffea]


Sekian. Sehingga bertemu lagi! :)

Tukang Kebun Petak Hijau,
Awin

Tuesday, April 28, 2015

Pokok Tin Vern Brown Turkey

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,

“Demi buah tin dan demi buah zaitun” – Surah at-Tiin, ayat 1.
Subhanallah, buah ini disebut di dalam kalam-Nya. Ternyata peri banyaknya khasiat dan nutrisi buah yang disebut sebagai Ficus carica (dalam Bahasa Latin) ini.

Menurut seorang sahabat baik yang menunaikan haji pada tahun lepas, buah ini sering menjadi pilihan para jemaah haji bagi dijadikan buah tangan, selain kurma dan kismis. Di Mekah mahu pun Madinah, buah ini ternyata mudah dicari di kedai-kedai sekitar masjid dan penempatan para jemaah.

Di Malaysia, kini penanaman buah tin mula mendapat perhatian pekebun-pekebun kecil. Ramai yang terjebak dan teruja dengan fenomena baru ini untuk menikmati buah tin daripada laman sendiri termasuklah diri saya sendiri. Sebelum membeli pokoknya (yang agak mahal) saya mengambil kira beberapa faktor seperti di bawah :

1. Penjual yang diyakini dan dapat memberi nasihat dan sokongan selapas jualan
2. Harga yang sesuai dengan saiz pokok
3. Varieti yang mudah dijaga dan sesuai dengan yang baru pertama kali nak tanam seperti saya
4. Kaedah dan pembungkusan penghantaran yang selamat dan tidak merosakkan pokok (sebab pokoknya mahal!)

Selama dua bulan saya mengumpul maklumat. Membaca di blog-blog dan mengamati komen-komen di FB serta bertanya rakan-rakan kebun (yang bukan penjual) tentang perkara-perkara di atas. Saya memilih untuk membeli pokok dan bukan keratan. Akhirnya saya membeli varieti Vern Brown Turkey dari FB Stevia Healthysweetness dari Sarawak iaitu Joyce. Kak Joyce seorang yang baik dan tidak lokek ilmu. Dia menjaga pokok yang ingin dibeli sehingga stabil dan kemudian barulah diposkan. Pembungkusan yang amat kemas dan rapi. Saya memilih brown turkey kerana menurut pakar yang berpengalaman, ia tahan lasak, mudah dijaga dan sudah serasi dengan cuaca di negara kita. Bacaan lanjut tentang pemilihan varieti boleh dirujuk di sini.


Gambar-gambar perkembangan sepohon Vern Brown Turkey di laman rumah.
Sudah 4 bulan ia mendiami Petak Hijau












Sehingga bertemu lagi! :)

Tukang kebun Petak Hijau,
Awin

Friday, April 24, 2015

Jagung bandaran

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua,

Subhanallah.
Semakin cepat masa berlalu.
Sudah hampir di hujung minggu.
Perlu audit diri ini selalu.
Sebagai hamba, bersyukurkah aku?

Sebagai mama, adakah aku penyayang?
Sebagai isteri, adakah aku menjaga kehormatan?
Sebagai anak, adakah aku bertanya khabar mak di kampung?
Sebagai kakak, adakah aku mengambil berat?
Sebagai jiran, adakah aku bertegur sapa?
Sebagai rakan, adakah aku mendoakan rakan-rakanku yang lain?

Beberapa hari ini kebelakangan ini saya dapat berehat dari menyiram pokok kerana Allah turunkan rezeki hujan yang lebat. Jika tidak menyiram, pada waktu paginya saya akan meninjau-ninjau pokok di depan rumah. Tak banyak dah pokok di laman rumah. Bendi dah di hujung kitar hidupnya. Belum mula menyemai pokok baru dek kerana kesibukan dengan tugasan harian di rumah.


Sepatutnya jagung glass gem rainbow ini berwarna-warni yang terang. Tak mengapalah, yang penting boleh makan. Alhamdulillah, jagung ni tak rongak seperti jagung black aztech. Isinya padat dan rapat. Suka anak-anak dapat makan jagung tanam sendiri. Biji benihnya saya beli daripada seorang rakan di FB. Benih heirloom katanya, Saya menunggu Diana buka tawaran biji benih jagung kampung baka dari Sabah. Anak-anak sangat suka makan jagung. Memang puas hati tanam sendiri. Jagung asing ini menghasilkan sebiji sahaja setiap pokok :) perlu tetap tersenyum dan bersyukur. Itu tanda Allah sayang. Suruh belajar dan mencuba lagi untuk mendapat hasil yang lebih baik.

Jagung Glass Gem Rainbow yang seakan kaca setelah direbus

Glass Gem Rainbow Corn

Black Aztech


Black Aztech

Jagung Black Aztech

Jagung Black Aztech setelah direbus



Sehingga bertemu lagi.

Tukang Kebun Petak Hijau,
Awin


Tuesday, April 7, 2015

Dapat nikmat, ingat Pemberi nikmat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada kawan-kawan sekalian,

Sudah masuk bulan keempat saya menjadi pekebun sepenuh masa. Alhamdulillah saya sungguh bahagia kerana dapat bermain tanah, menatap dan membelek tanam-tanaman sesuka hati saya :) Aktiviti kebun selalunya dilakukan pada sebelah pagi dan terhad kepada aktiviti menyiram dan mencabut rumput rumpai. Kawasan Petak Hijau tidaklah besar, tetapi terasa banyak yang tidak sempat dilakukan. Tiba-tiba terfikir, bagaimanakah tukang-tukang kebun yang mempunyai kawasan yang luas menguruskan kebun mereka sendirian. Kagum!

Sudah masuk minggu kedua hujan setiap hari di Pinggiran USJ. Alhamdulillah, aktiviti menyiram boleh diabaikan ketika ini. Masa yang terluang itu boleh digunakan untuk menyelesaikan  kerja-kerja tertunggak di dalam rumah. Rasulullah ï·º mengajar kita untuk berdoa ketika hujan turun. Doanya ringkas dan mudah untuk dihafal. Jom kita hafal dan amalkan. 



[ Sumber ]

Hari ini terasa buntu untuk menyediakan santapan malam untuk keluarga. Terus keluar ke laman sambil kepala ligat mencari idea. Alhamdulillah, hari ini dapat menuai roselle, asparagus Jersey Giant, daun kari, tampaka, ulam raja dan pudina. Daripada hasil tuaian ini dah tahu nak padankan dengan apa yang ada di dalam peti ais. Tampaka mahu diletakkan dalam sayur tau miu. Tampaka sangat baik untuk menambah hemoglobin darah. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut. Penjagaannya juga sangat mudah. Pokok yang menghuni di Petak Hijau ini pun dibiarkan saja tanpa belaian. Tidak semua hasil tuaian tampaka akan digunakan. Satu hari satu bawang tampaka akan diletakkan sebagai rencah dalam sayuran.




Sehingga bertemu lagi! :)


Tukang Kebun Petak Hijau,
Awin