Friday, January 31, 2014

Cara menyimpan Rosemary agar kekal lama

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,


Saya ada membeli sepokok rosemary daripada seorang pakcik di Pasar Besar Shah Alam minggu lepas. Saya pilih yang berkayu kerana nampak lebih stabil dan tahan lama. Sebelum in pernah membeli sepokok rosemary juga di sebuah nurseri di Mydin Subang Jaya tapi mati sebab masa itu siram terlebih air. Rosemary tidak perlu disiram dengan air yang banyak. Kali ini saya tidak menyiramnya seperti biasa dari atas ke bawah. Saya letak air dalam besen dan letak pasu rosemary di dalamnya. Air akan diserap dari bawah. Teknik siraman begini saya telah aplikasikan kepada semua pokok succelent saya di pejabat dan alhamdulillah semuanya masih hidup.

Saya ada terbaca di dalam blog tanamsendiri.com tentang cara menyimpan rosemary supaya aroma daunnya tidak hilang apabila digunakan. Teknik yang diperkenalkan oleh tanamsendiri.com dapat memelihara kesegaran daun dengan membuat kiub-kiub ais rosemary. Rosemary digunakan oleh Mr Chef dalam masakan gril daging lembu dan kambing.



Selingan Jumaat


Thursday, January 30, 2014

Succulent penghias meja kerja

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan yang dikasihi Allah,


Di atas meja saya di pejabat ada satu taman mini kecil dihiasi pokok-pokok succulent. Yang terbaru adalah pokok yang tidak diketahui namanya tetapi sangat cantik! Subhanallah! Saya beli set pokok ini daripada seorang rakan pejabat. Saya pun sudah terjebak dengan mood Gong Xi Fa Cai rakan-rakan ofis berbangsa cina :)

Pekerja di Wilayah Persekutuan dapat bercuti panjang sehingga Isnin. Mari merancang untuk berkebun :) Selamat tahun baru Cina!


Koleksi tanaman di Mini Petak Hijau di pejabat



Close up




Wednesday, January 29, 2014

Tuesday, January 28, 2014

Pekebun kecil

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Projek penstrukturan semula Petak Hijau fasa 1 sudah sepenuhnya siap. Saya perlu tanam lebih banyak lagi tanaman untuk memeriahkannya. Sila rujuk entri projek penstrukturan semula di sini. Penstrukturan semula ini mengambil kira kedudukan tanaman. Kedudukannya perlulah saya dapat capai dan belek serta menghapuskan perosak tanaman :) Fasa 2 akan dimulakan semasa quarter 3 nanti. Semasa quarter 3, saya akan memasukkan konsep vertical gardening yang saya belajar dari sebuah buku. In sha Allah.


Kumpulan kiri dan kanan. Di sebelah kiri frontyard saya banyak menanam di atas tanah. Frontyard sebelah kiri mendapat cahaya matahari pagi, Jadi tumpuan adalah lebih kepada sebelah kanan untuk menanam tanaman sayuran.



Pekebun kecil di sebelah kiri Petak Hijau. Sedang menghapuskan perosak ganjil di pokok kari dengan lidi cucuh api. Pest buster! :)

Pekebun kecil di sebelah kanan Petak Hijau. Saya menambah bunga-bungaan supaya dapat menarik agen pendebungaan ke Petak Hijau.

Jus roselle pengganti Tetrapak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,


[Jimah Belanja]

Kami tidak perlu lagi membeli jus Tetrapak (Marigold, dsb). Hasil tuaian roselle setiap hujung minggu akan menghasilkan sekurang-kurangnya 6 liter jus roselle yang boleh menampung keperluan keluarga selama seminggu. Alhamdulillah. Seperti yang En Is tanamsendiri.com selalu kata, beat inflasi dengan tanam sendiri! :)


Langkah-langkah membuat jus roselle :

1. Asingkan kelopak merah roselle dan biji di dalamnya.


2. Rebus hanya kelopak roselle sehingga mendidih
3. Masukkan gula secukup rasa


4. Masukkan dalam bekas minuman dan masukkan dalam peti sejuk
5. Jus roselle sedap diminum sejuk
6. Siap!












Monday, January 27, 2014

Hasil tuaian minggu ke 3 Jan 2013

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung yang budiman,


Roselle yang masih menjadi champion. Kacang panjang renek juga mula mengeluarkan hasil. Masih kecil tapi Mr Chef suruh ambil sebab dia nak masukkan dalam daging masak kicap menu tengah hari Sabtu.


Alhamdulillah

Sunday, January 26, 2014

Resepi olio oglio seafood - Ginseng Jawa penyelamat :

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Pokok ginseng jawa di Petak Hijau telah beranak pinak cucu cicit dah. Mudah sungguh ia tumbuh. Pada awal bulan ini, memang ginseng jawa sangat banyak pokoknya. Saya telah mengambil pucuknya untuk dibuat sayur. Akarnya yang semacam ginseng juga saya tuai untuk direbus minum utk kekuatan dalaman. Sesuai sangatlah untuk ibu bekerjaya macam saya ni. Badan terasa tak penat sangat dan rasa segar.

Suatu ketika Mr Chef buat Olio Oglio Seafood dengan meletakkan pucuk ginseng jawa sebagai bahan-bahan tumbuhan. Anak-anak makan bertambah-tambah. Sangat puas hati suap mereka makan. Makan sampai licin pinggan mangkuk.

Berikut adalah resepi yang diberikan oleh rakan sepejabat saya Kak Mimi dan diolah mengikut citarasa Mr Chef yang sangat suka makan sayur dan haiwan.

olio oglio  seafood
1. Tumis bawang putih + bawang besar + daun basil serbuk + daun oregano + kiub ayam + serbuk cili serbuk lada hitam + minyak zaitun
2. Masukkan air rebusan udang + udang + sotong
3. Masukkan spagetti yang telah direbus. (Tips masak spagetti yang tidak melekat ialah dengan masukkan minyak semasa merebusnya)
4. Masukkan tumbuhan - cendawan segar bunapimeji dan cendawan butang dalam tin, segar lagi bagus, capsicum, carrot, ginseng dan jawa.
5. Siap!


Kepada yang berminat untuk membeli biji ginseng jawa benih boleh ke http://kebunbahagiabersama.blogspot.com.



Ginseng jawa - akarnya direbus dan minum air minumannya



Olio Oglio berginseng jawa. Sedap!


Saturday, January 25, 2014

Hasil tuaian penutup 2013

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Sangka saya kobis tidak boleh ditanam di kawasan tanah rendah, apatah lagi di kawasan Subang Jaya ini. Tapi terbukti segala sangkaan saya salah sama sekali. Kobis dapat hidup aman damai di kawasan sempadan Subang Jaya - Shah Alam ini. Penghujung Disember 2013 yang lepas, alhamdulillah kesemua kobis yang hampir membentuk bebola telah habis saya tuai dan makan :) Sekarang cuaca semakin panas, pokok ulam raja saya melecur dek kepanasan. Mungkin ditangguhkan dulu penanaman kobis ini sehingga ke suatu ketika yang sesuai.

Meriah! Alhamdulillah!

Friday, January 24, 2014

Progress Report Mempelam Telur Desiring Jannah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,

Lapan bulan sudah berlalu. Sila rujuk entri yang lepas tentang sejarah mempelam telur Desiring Jannah ini. Nampaknya semakin subur. Alhamdulillah. Didoakan kami bertujuh dapat bertemu suatu masa nanti makan mempelam telur cicah kuah rojak Mak Bee di bawah pokok mempelam ini :)


Thursday, January 23, 2014

Kawasan jajahan pegaga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Setelah habis pegaga dimesin oleh tukang mesin rumput profesional (rujuk di sini untuk entri lepas), bagai cendawan selepas hujan, pegaga tumbuh kembali dengan suburnya alhamdulillah. Tatkala kebun kami ketika itu ketandusan bekalan, maka pegaga ini kami jadikan sayur dalam masakan. Mr Chef buat masak lemak putih, masak lemak kuning, masukkan dalam telur dan dimakan sebagai ulam. Syukur alhamdulillah.

Saya telah turut serta di dalam projek amal untuk mengajar ilmu perkebunan di sebuah rumah kebajikan di Ampang, jika sesiapa yang berminat hendak memberikan biji benih, tanah atau polisterin besar, mohon emelkan kepada saya zamzurina@gmail.com. Harap maklum ^_^

Pegaga  hidup bahagia bersama cekur dan stock astral.



Kawasan jajahan pegaga gajah

Wednesday, January 22, 2014

Kacang Tanah 'Tadong' hidup subur bersama bayam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan pengunjung yang budiman,

Benihnya saya beli di kebunbahagiabersama.blogspot.com. Ditanam pada awal Disember 2013. Kelihatan kedua-duanya hidup bahagia bersama :) Bilakah ia boleh dituai?


Monday, January 20, 2014

Bekal Ulam Raja

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

[Jimat belanja]

Bawa sendiri ulam ke pejabat. Di kawasan tempat saya bekerja di tengah metropolitan Kuala Lumpur, ada satu food court ni mengenakan RM1 untuk seikat ulam! Saya tak boleh nak ubah pemilik kedai supaya turunkan harga, jadi saya ubah diri saya dengan membawa sayur sendiri ke pejabat :) Ulam raja ini dituai semasa saya tergopoh-gapah nak keluar rumah nak pergi kerja. Sempat juga memetik dan letak dalam bekas. Alhamdulillah!

Saya nak cuba pula tanam dipejabat. Ada kawan-kawan pernah tanam ulam/ sayur di pejabat? Jika ada senang saja kan. Petik segar-segar dan buat makan dengan lauk yang dibeli :)


Sunday, January 19, 2014

Ladang Anggur Tasik Beris, Sik, Kedah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,


Berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang laki-laki. Kami jadikan bagi seseorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang.” (Al-Kahfi 18 : 32)

Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.” (Al Baqarah : 266)

Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, korma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (An-Nahl : 11)

Tentunya istimewa buah anggur sehinggakan disebut-sebut di dalam Al-Quran. Saya berpeluang ke Ladang Anggur Tasik Beris, Sik, Kedah. Lebih kurang 40 minit dari rumah mak saya di Sungai Lalang. Pemandu pelancong kami adalah pengantin baru :) Saya bercuti lama sempena majlis perkahwinan adik-adik pertengahan Disember 2013 tempoh hari. Setelah penat membantu mak menguruskan hal kenduri, tiba-tiba pengantin baru ajak kami ke ladang anggur ini.

Ladang anggur ini letaknya di sebelah tasik buatan. Pada pendapat saya tasik ini secara tidak langsung membantu mengekalkan kelembapan di sekeliling ladang anggur. Teringat kisah di dalam surah Al-Kahfi, di mana ada dua buah kebun yang subur, di tengahnya terdapat air sungai yang mengalir dan di sekeliling kebun anggur terdapat pula pokok kurma. 

Masya Allah, kagum saya dengan pemilik kebun anggur ini. Ladang anggur sangat  ini kemas dan bersih, dijaga rapi oleh pekerja-pekerja tempatan. Sabarnya dia menunggu hasil sejak tahun 2007 lagi. Di tengah-tengah kawasan yang jauh ke pedalaman, harapnya dapatlah juga kawasan sekitarnya membangun apabila bertambahnya pengunjung ke sini. 










Cubaan menanam strawberry

DUNYA *for a limited time only

Hasil tangkapan di souvenir shop iaitu, kismis yang sedap, kordial, fridge magnet dan 500 gm buah anggur berharga RM15. Buahnya manis walaupun saiznya agak kecil


Saturday, January 18, 2014

Membeli-belah secara offline di tanamsendiri.com

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung yang budiman,

Semalam hari cuti umum bagi sesetengah negeri termasuklah negeri tempat saya bekerja :) Stok sayuran segar di Petak Hijau agak meruncing. Kami perlu cari anak pokok/pokok untuk mempercepatkan hasil tuaian. Jadi pada sebelah petang setelah mengambil anak saya pulang dari sekolah, kami terus ke rumah pemilik tanamsendiri.com, En Iskandar. Perjalanan mengambil masa 45 minit, Shah Alam - Semenyih. Setibanya di rumah En Is, terpegun kami dengan kepelbagaian sayuran yang boleh dimakan yang ditanam oleh En Is di kawasan yang sangat terhad. Masya Allah! Sungguh tekun dan gigih En Is suami isteri anak-beranak mengusahakan kebun di laman rumah. Sungguh kami kagum dengan semangat En Is sekeluarga. Sungguh memberikan inspirasi.

Macam-macam ada di patch depan rumah En Is.
Abaikan seorang kanak-kanak berbaju kuning yang sedang bermain lari-lari dengan Puteri, anak En Is.

Hasil tangkapan. Temu pauh, terung giant, moringa, timun jepun, tomato ceri, tomato belon, cili centil, cili kulai, betik sekaki, rosemary &bangun-bangun

Pemberian En Is - Pokok bangun-bangun (kiri). Collard (kanan). Cili kerinting (kiri). Cili Pedas sangat (kanan).

Collard ni sungguh besar! Subhanallah. Satu daun boleh sekali saja makan. Biji benihnya pun saya beli. Memang berbaloi!

Friday, January 17, 2014

Musim bunga di Petak HIjau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Suatu ketika pada Disember 2013 :)


Thursday, January 16, 2014

Pemilihan dan Penstoran biji benih

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan kebun yang dikasihi Allah,

Suatu ketika pada awal Disember 2013, saya sedang memilih biji-biji benih yang akan disemai pada bulan tersebut. Kemudian, anak sulung saya Muaz beriya-iya nak pilih juga. Jadi. untuk bulan tersebut, pemilihan biji benih Muaz yang buat. Sungguh tekun memilih biji benih sambil membaca nama dan bertanya ini dan itu. Ada yang sudah tanam dan ada yang belum. Muaz pun selalu follow up tanya sudahkah tanam strawberry dia. Akan mencari peluang menyemai di dalam kesibukan ini. Rabbi yassir wala tuassir. Rabbi tammim bil khair.

Saya mengasingkan jenis biji-biji benih dan diletakkan di dalam bekas yang kecil ini yang dibeli di Daiso. Masih lagi tercari-cari cara yang terbaik untuk sistem penstoran biji benih. Jika rakan-rakan sudi, mohon kongsi cara rakan-rakan menyimpan biji benih. Oleh itu bolehlah saya tiru :) Kalau buat entri lagi bagus lepas tu komen disini dan bagi link. :)

Tekun membelek biji benih satu persatu. Suburkankan minatnya terhadap berkebun ya Allah.

Sempat juga jadi menara biji benih

Biji benih terpilih

Wednesday, January 15, 2014

Berjambak-jambak bunga karipole

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua,

Cuti 1 Januari 2014 yang lepas, seperti biasa saya akan berkebun sehingga matahari hampir tegak di kepala. Agak rajin pada hari tersebut saya melilau-lilau di sekitar kebun yang tidaklah besar mana pun untuk mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh. Tiba-tiba terpandang bunga pokok karipole yang 3-4 jambak banyaknya. Masya Allah, ini kali pertama saya melihat bunga karipole secara langsung. Sedikit masa lagi mungkin akan mengeluarkan biji benih pula.

Karipole boleh dibiakkan dengan 3 cara iaitu :

+ melalui biji benih
+ keratan batang
+ anak yang tumbuh dari akarnya



Nostalgia karipole pemberian arwah abah.

Subhanallah!



Tuesday, January 14, 2014

Meriahnya Mulberi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung yang budiman,

Mulberi ini adalah daripada keratan yang dibeli dan diberi oleh Diana mula membuahkan hasil. Alhamdulillah. Setiap hari sebelum ke kerja jika ada yang sudah masak ranum saya akan petik dan makan. Tidaklah semeriah mana buahnya, tetapi paling meriah setakat ini di Petak Hijau :) Saya teruja melihat kemeriahan mulberi Mak Aji sampai boleh buat sirap. Tip daripada seorang kawan di Jeniang yang berjaya di dalam penanaman mulberi, pokok perlu kerap dicantas dan dibubuh baja.




Saturday, January 11, 2014

Semangat 2014

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung yang budiman,

Hari ini baru saya boleh membuka laptop atas beberapa sebab musabab. Disember 2013 merupakan bulan yang paling sibuk bagi diri saya apabila merupakan orang kanan (melantik diri sendiri) mak saya menguruskan majlis perkahwinan adik lelaki dan adik perempuan saya ~ dua pasang sekaligus kenduri. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar.

Pada hari kejadian :) Konsep warna telah dipilih oleh pengantin sendiri. Boleh follow fb dan instagram ainsneedlework. Photo booth props juga boleh disewa dengan harga yang sangat murah. Mohon hubungi ainsneedlework :)

2013 telah pergi. Umur bertambah lagi. Lalu semakin dekatlah kita pada tarikh kematian yang telah ditetapkan. Mati itu pasti. Yang pasti itu hampir! Hari jadi mu mendekatkan lagi kepada hari mati mu! Saat kembali mu semakin hampir wahai musafir. (Pahrol Mohd Juoi).

2013 saya mengenali ramai tukang-tukang kebun yang berjaya. Berjaya dalam erti kata mencuba menanam pelbagai tanaman daripada biji benih sehingga mendapat hasil. Masya Allah, merekalah sumber inspirasi terbesar saya untuk berkebun. Siapakah mereka? Kesemua link blog kebun yang saya suka baca di bahagian kanan blog ini. Membaca setiap entri mereka membuatkan perasaan saya terasa teruja blink blink nak cuba juga. Saya bukanlah orang yang pandai berkebun, tetapi ilmu secara percuma yang dikongsi dari guru-guru saya ini membolehkan saya menuai bermacam-macam hasil daripada laman sendiri. Yang penting cari ilmu dan praktikkan. Insha Allah akan berjaya. Konsep tangan panas tangan sejuk bagi saya tidak relevan langsung. Ilmu dan amal - Jalan terus!

2014 saya berazam untuk menyebar luaskan hobi berkebun di rumah di kalangan rakyat Malaysia. Saya seorang mungkin tidak boleh. Saya ingin mengajak rakan-rakan ramai-ramai kita berkempen dengan orang terdekat kita seperti adik-beradik, saudara-mara, jiran tetangga dan rakan-rakan di pejabat untuk memulakan hobi berkebun di rumah.

Saya ambil dari fb status Container Gardening Alliance.
Yes, we should teach people how to fish rather than give them fish.


Gambar adalah dari status fb En Is.
Rezeki Allah yang beri. Kitalah yang perlu usaha mencari.
Man jada wa jadda.


Emel dari seorang adik yang saya kongsi benih dengannya begitu mengujakan. Dia telah berjaya membuatkan saya tersenyum sepanjang hari. Berkali-kali saya memberitahu, saya tidak menjual biji benih dan memberi alamat blog sekian-sekian untuk dia dapatkan biji benih. Saya juga meminta dia berjanji untuk mempengaruhi saudara-mara dan sahabat handai untuk memulakan berkebun di rumah dan dia setuju! Terima kasih dik!



Terima kasih Diana, dalam entri 2013 yang istimewa. Diana seorang guru yang tidak lokek ilmu. Kadang-kadang semput juga membaca kerana lambat sangat nak jumpa noktah untuk sesuatu ayat. Cerita Kebun Bahagia Bersama pasti akan terselit tip-tip dan petua perkebunan yang sangat berguna buat saya yang setahun jagung mengenal alam perkebunan.

Terima kasih Kak Mar, dalam entri Kobis T986. Kak Mar lagaknya seperti kakak-kakak saja. Tak pernah bersua muka. Mungkin suatu hari dapat berjumpa.

Buat rakan-rakan kebun yang dikasihi Allah. Perkongsian ilmu rakan semua amat bermakna bagi saya. Jazakallahu khairan.

Didoakan nanti kita semua berjumpa di syurga, berada di dalam kebun yang paling indah ciptaan Allah. Amin.

Tak lengkap entri ini tanpa gambar hasil tuaian pertama 2014.


Masih meriah dengan tuaian Roselle. Dapat berjimat tidak perlu membeli air jus Tetrapak. Alhamdulillah!