Thursday, January 31, 2013

Gladioli pertama pengubat hati

Assalamualaikum,
Alhamdulillah, berita gembira dari gladioli pertama sudah berbunga setelah diduga dengan gladioli kedua yg diserang ulat. Gladioli ini pernah jatuh tertunduk sebab tinggi dan berat rasanya. Saya pun tak buat pancang yang kukuh. Apabila dapat sms dari Mr Chef katanya gladioli yg ditatap setiap pagi tertunduk seperti patah. Rasa sedih sangat. Tetapi, rasanya Mr Chef pun suka juga apabila ada bunga2 di Petak Hijau (walau tak berapa nak mengaku), semasa pulang dari kerja saya dilihat Mr Chef dah betulkan batang bunga dan buat sedikit pengubahsuaian pancang supaya lebih kukuh. Tersenyum2 lah saya sebab gladioli kuning berlidah merah ini masih boleh diselamatkan. Bertahanlah wahai bunga gladioli.

Memang Gladioli rasanya paling champion. Selepas ni semua gladioli saya akan pindahkan ke kawasan ini supaya semua jadi champion :) Semasa tengah menggembur2kan tanah suatu petang. Seorang nenek tua berbangsa India datang semata2 nak tengok gladioli saya ini. Agaknya dah lama dia perhatikan cumanya tak berkesempatan nak jumpa saya yg keluar awal pagi dan balik malam ni. Nenek ni nak pastikan bahawa pokok ni bukan tiruan. Sangat cantiklah pokok ini! kata nenek. Saya senyum saja. Nenek juga jengah2 dalam laman rumah tegur pokok2 yg ditanam. Dia tegur thai basil saya. Katanya orang India guna letak kat tangan baby, letak macam gelang. Nenek buat gaya macam mana baby tuh letak2 tangan di hidung boleh bau. Mungkin untuk merangsang deria baru dan bagi baby selesa. Sebabnya mmg Thai Basil tu baunya agak menyelerakan. Maklumat baru yg boleh dicarigali lagi! Sembang punya sembang rupanya anak kedua nenek ni bekerja sama syarikat tempat saya bekerja! Kecilnya dunia. Saya juga sempat pesan kepada nenek supaya datang lagi sembang2 jika ternampak saya di laman rumah. Kelihatan nenek ni mmg sunyi tiada kawan nak sembang.




Wednesday, January 30, 2013

Thai basil pembangkit selera

Assalamualaikum,
Saya suka rasa Thai Basil. Selalunya saya kutip Thai Basil jika Mr Chef nak buat kari hijau daging. Memang yummy! Kadangkala jika jemu makan ulam raja saya petik pucuk Thai Basil yg muda untuk buat ulam. Mr Chef juga pernah buat goreng sos tiram dengan mushroom dan daging lembu. Pun sedap! Baunya memang menaikkan selera. Makan bertambah2. Semasa bercuti di Vietnam Disember 2012, di dalam salah satu hidangan makan terngah hari, kami dihidangkan dengan isi ikan talapia goreng dan daun thai basil muda dan dibalut dengan rice paper. Sedap! (Semua sedap kan!)

Thai Basil ni saya tanam melalui keratan batang lebihan dari beli di Checkers. Awalnya mmg lambat sikit pertumbuhannya. Tapi jika sudah stabil akarnya, mmg cepat merimbun dan berbunga. Saya tanam merata2 dalam Petak Hijau khusus untuk menghalau serangga2 perosak. Setakat ni alhamdulillah agak berjaya. Namun kekabuh timun mmg kebal dengan baunya.



Tuesday, January 29, 2013

Petak Hijau Muhibbah meriah dgn tanaman

Assalamualaikum,
Petak Hijau Muhibbah istimewanya dimiliki oleh seorang yg mmg otai di dlm alam perkebunan iaitu bapa mertua saya. Kami sekeluarga baru saja minggu lepas pulang dari Petak Hijau Muhibbah kerana menziarahi Tok Wan anak2 saya.

Tak pernah lagi sepanjang arwah mak mertua beli daun palas untuk buat ketupat pulut. Ambil saja depan rumah. Sagu larut pertama kali makan beberapa tahun lepas apabila mak rebus untuk kami sekeluarga untuk makan petang. Memang sedap. Bapa pula rajin mengopek nyiur dan kukur dengan pengukur manual dan masukkan dalam freezer. Apabila nak guna barulah keluarkan letak air panas dan blender. Apabila saya masak nasi lemak hijau, guna kelapa depan rumah mmg segar dan berbau sedap. Tak pernah lagi saya lihat bapa beli santan di kedai. Tebu jika sudah matang bapa akan potong dan hantar upah ke kedai untuk perah airnya. Airnya akan disimpan dalam freezer dan kami anak-beranak pasti habiskannya apabila pulang ke sini. Tak payah letak gula langsung. Letak air saja dah cukup. Pokok asin2 mmg dah macam ulam raja di rumah saya beranak pinak sana sini. Memang makan tak habis. Bapa juga suka makan keladi. Baru2 ni bapa mula berkebun. Deretan keladi kelihatan membesar dengan sihat. Pandan yg pernah saya katakan dulu mmg besar2 daunnya. Sebesar dan sepanjang tangan anak sulung saya dan berbau wangi! Byk lagi pokok2 tak sempat snap.

Nangka madu ni sangat istimewa. Anak sulung saya, Muaz panggil nangka ni nangka Tok Wan. Jika kami beli nangka di Tesco atau tepi jalan, mesti Muaz akan keluarkan ayat. Nangka Tok Wan lagi sedap. Disebabkan Tok Wan tahu cucunya suka makan nangka yg dia tanam. Setiap kali berbuah Tok Wan akan bagi hint suruh balik kampung :) Setakat ni, tiada nangka setanding nangka Tok Wan!


Sejak pemergian ibu mertua 2 tahun lepas, banyak pokok tanaman hiasan yg terabai. Tapi, banyak juga pokok yg survive sendiri. Alhamdulillah.


Stress free kids! Seronoknya mereka mandi-manda dalam Petak Hijau Muhibbah. 



Monday, January 28, 2013

Gladioli kedua diserang ulat

Assalamualaikum,
Pokok Gladioli kedua saya telah diserang hebat oleh sekumpulan ulat. Saya telah mengutip dan menghapuskan semua ulat2. Dalam hati sedih juga. Kita tengoklah hasilnya berbunga atau tidak. Hidup atau mati pokok gladioli kedua saya ini. Semoga Allah beri peluang untuk mengetahui warna bunga gladioli kedua saya ini.


Sunday, January 27, 2013

Kailan goreng ikan bilis tanam sendiri

Assalamualaikum,
Semalam kailan ini digunakan untuk masakan tengah hari. Mr Chef masak kailan goreng ikan bilis sebab tiada ikan masin di rumah. Sebenarnya bukan kailan saja ada dalam masakan ni, ada sebiji bendi dan kangkung juga. Nak harapkan kailan saja mmg secoet sajalah dapat. Semua hasil tanam sendiri. Puas hati  makan.




Saturday, January 26, 2013

Potluck Akar Seruntun

Assalamualaikum,
Siapa yg pernah rasa akar seruntun atau Patawali? Sila bagi komen akan rasanya. Ingin tahu reaksi dan perasaan anda. Saya pernah rasa. Ketika itu saya ingin memutuskan penyusuan anak saya kerana sudah lebih dua tahun dan tubuhnya tidak membesar sangat sebab asyik clingy menempek dengan mama. Saya telah cuba letak sirih dan kopi tapi gagal. Suatu hari, makcik cadangkan letak akar seruntun. Sebelum letak saya rasa dulu. Rasa pahitnya mmg tak boleh digambarkan sebab pahit sangat. Saya ambil masa lebih kurang 3 hari nak lupakan rasa pahit tu. Kasihankan anak, saya hold dulu cari kekuatan. Akhirnya, saya letak juga dan automatik mmg anak saya tak  nak menyusu dah lepas tu. Alhamdulillah, lepas tak menyusu badan, dia kuat makan dan beratnya bertambah.

Baru2 ni kawan-kawan saya pesan akar seruntun untuk cerai susu anak2 mereka. Kawan2 siap datang rumah buat Potluck Akar Seruntun sambil saya memberi penerangan ringkas tentang penggunaannya. Masih ada lebihan keratan akar seruntun pada saya. Akar seruntun ini saya ambil dari Petak Hijau Muhibbah hujung minggu lepas kerana berkunjung ke sana. Bg sesiapa yg berminat untuk cerai susu atau tanam bolehlah emelkan kepada saya zamzurina@gmail.com alamat utk saya poskan. Memang banyak kegunaan akar seruntun ataupun patawali ini. Antaranya, jika selalu mengamalkan minum air rebusannya, dikatakan nyamuk tak gigit. Tapi lalukah nak minum air rebusannya? Hmm...alah bisa tegal biasa, mari kita cuba! \^_^/

Dalam mencari maklumat tentang akar seruntun ini, saya terjumpa satu artikel tentang akar seruntun yg gerenti santai dibaca. Jom baca ramai2!




Friday, January 25, 2013

Butter Bean Cherokee Wax kemetot

Assalamualaikum,
Saya ada 3 pokok buncis. Sepokok mmg sihat segar bugar tapi buahnya banyak menjadi dan banyak yg luruh. Jika menjadi pula, kemetot2 saja. 2 pokok lagi pokok pulak kemetot dan tiada keluar bunga pun. Jenuh juga dibelek sana sini. Kacang buncis saya kemetot. Macam mana nak bagi chubby2!




Thursday, January 24, 2013

Jus Rosselle dan Aloe Vera penyejuk badan

Assalamualaikum,
Saya telah mencuba untuk membuat campuran kiub aloe vera dan jus rosselle. Memang sedap dan aloe vera berasa sangat rangup dan segar.  Sebelum ini saya pernah rasa jus campuran epal aloe vera dalam TetraPak, mmg terasa kelainannya. Kaedah penyediaan seperti berikut:
  1. Satu bahagian kulit aloe vera dikupas, kemudian dikeluarkan isinya menggunakan sudu. Buang sisa2 hijau kerana ianya agak pahit.
  2. Basuh isi aloe vera 3 kali dengan air.
  3. Kemudian, potong isinya dalam bentuk kiub dan masukkan terus ke dalam jus rosselle.
Minuman yang menyegarkan hasil dari laman sendiri. Jom cuba!


Wednesday, January 23, 2013

Si merah hijau Costus Woodsonii

Assalamualaikum,

Pokok Costus woodsonii ini saya beli di Nurseri kawan saya di Kg Melayu Sg. Buloh dgn harga hanya RM8 sepasu. Bunganya yg merah menyerlah dikalangan daun hijau gelap sungguh menarik mata saya yg memandang. Asalnya saya letak dalam pasu tapi tak berapa nak membiak. Jadi saya tanam atas tanah depan pagar rumah.  Banyak pula pucuk2 baru muncul tidak lama kemudian. Selalu juga saya potong batang2 yg tua. Lepas potong batang yg dah tua, selepas tu mesti muncul pucuk baru. Mmg agak mudah menjaga pokok ni.

Dalam pembacaan saya tentang pokok ini, pucuk kuning kemerahan yg keluar dari celahan bunganya yg seperti lipstick itu boleh dimakan. Tapi saya belum pernah makan. Nak cuba juga suatu hari nnt. Kelihatan di dalam gambar ada serumpun ulam raja yg beraja di rumpunan costus woodsonii. Sampai tak nampak sudah rumpun costus woodsonii satu lagi.


Tuesday, January 22, 2013

Raja di Petak Hijau

Assalamualaikum,

Ulam raja adalah pokok terawal yg menghuni Petak Hijau. Tak hairanlah ia telah menjadi raja di kebun Petak Hijau. Saya beli di Nurseri Rumah Anak Yatim Baitulhidayah, Puchong. Semasa saya beli, pokoknya sudah matang dan mengeluarkan bunga. Mmg saya tak merasa langsung ulam dari pokok induk ini. Tapi, pokoknya lebat mengeluarkan bunga. Mmg sangat banyak biji2 benih yg terbang dibawa angin dan tumbuh merata2 di Petak Hijau, termasuklah menempek dalam pasu pokok kari, limau kasturi dan limau purut. Dah beraja dalam pasu2 tu, lebih sudu dari kuah.

Di samping itu, benih2 yg dituai juga banyak. Alhamdulillah, Petak Hijau meriah dengan ulam raja. Sekarang sudah fasa berbunga. Kuntuman bunga merah jambu tatkala ini menjadi penyeri laman depan rumah. Selain dimakan sbg ulam, Mr Chef buat kerabu yg dicampur dgn pudina, bunga kantan (beli) dan pegaga. Sedap!


Monday, January 21, 2013

Aloe vera Afrika

Assalamualaikum,
Aloe vera Afrika ini diberikan oleh seorang kawan 3 tahun lepas. Aloe vera spesies ini memang besar daunnya. Menurut kawan saya, daunnya boleh dibuang kulit dan diambil untuk dimasukkan dalam jus. Saya belum pernah makan tapi merancang untuk buat jus rosselle aloe vera. Aloe vera ini hidup subur jika mendapat cahaya matahari yg banyak dan lama. Jika diletakkan ditempat redup sikit, pertumbuhannya seperti terbantut. Sudah ada beberapa anak pokok aloe vera telah saya semai diambil daripada induk. Sesiapa yg berminat dan rajin datang Shah Alam bolehlah singgah ambil anak pokok aloe vera ini. Gambar di bawah adalah pokok induknya. Seperti yg diketahui, aloe vera memang sinonim dengan kecantikan kulit. Selain untuk kecantikan kulit, kegunaan lain aloe vera boleh dibaca di sini.




Sunday, January 20, 2013

Cambahan labu siam

Assalamualaikum,
Labu siam telah menjadi sayur kegemaran keluarga sejak www.tanamsendiri.com mempopularkan tanaman ini. Sebelum ni tak tahu pun. Mr Chef gemar buat sup dan goreng tepung. Memang sedap. Saya dah beberapa kali semai labu siam daripada cambahan yg dibeli di Checkers, tapi masih belum berjaya hidup sampai besar. Kekabuh timun di Petak Hijau membalun hingga dogoi pokok labu siam ni. Spesies kekabuh ni mmg kebal. Ada juga anak2 pokoknya diserang kulat sebab saya tak alihkan ke tempat terang. En Is (www.tanamsendiri.com) pernah bagi nasihat seperti di bawah :

Kalau gunakan benih labu siam yang dah bercambah boleh. Tanam dalam tanah yang loose aja, jangan padat. Dan tanah jangan terlalu lembap sebab saiz benih agak besar, bimbang naik kulat.  Bila dah naik dalam 6 inci letak tempat cahaya terang. Kalau letak tempat redup mungkin akan mati. Biasanya serangga tak kacau pokok ni, jadi boleh dijadikan buddy pokok memanjat.  nanti bila besar, boleh juga tuai daun untuk masak macam masak labu air. Kalau menjadi buahnya lebat. Enak digoreng bersama bawang putih.





2 pokok labu siam dari cambahan ini telah diletakkan di tempat terang dan sekarang berada dalam kelambu supaya tidak didogoikan lagi oleh kekabuh timun. 

Saturday, January 19, 2013

Debaran Gladioli

Assalamualaikum.
Saya mempunyai 6 pokok gladioli yg dibeli secara online di kebunbahagiabersama.blogspot.com. Satu pokok dah mati, satu pokok patah batangnya, satu pokok lagi hanya mengeluarkan daun saja dan tiga lagi dlm proses berbunga. Memang hati ini sungguh berdebar. Kesemua gladioli ini saya sengaja letakkan di tempat yg berbeza di Petak Hijau, supaya untuk semaian seterusnya saya akan letakkan di tempat yg terbaik diantaranya. Gambar di bawah diambil hujung minggu lepas. Sekarang saya berada di utara tanah air. Teringat- ingat pula Petak Hijau terutamanya gladioli yg bakal mengeluarkan bunga yg tidak saya tahu bila masanya. Saya akan sabar menunggu. Gambar ni diambil hujung minggu lepas.


Thursday, January 17, 2013

Keladi belang berdaun unik

Assalamualaikum,
Sebelum berminat untuk menanam tanaman makanan, mmg agak lama sudah saya terjebak dengan tanaman hiasan yg tidak berbunga dan senang nak jaga :) Keladi belang (species: Xanthosoma sp. Famili : Araceae) yg cantik dan menarik perhatian ini dibeli di nurseri sahabat saya di Kampung Melayu Sg Buloh dengan harga RM15. Pokok ini adalah salah satu pokok hiasan kegemaran saya. Daunnya yg berbentuk seperti anak panah berwarna hijau tua dengan corak berbelang-belang hijau muda di tetulang tengah dan tepi bagai menarik-narik perhatian saya untuk memilikinya. Dan akhirnya, saya telah membeli 2 pasu pokok keladi belang.

Keladi belang sesuai diletakkan di kawasan yg redup dan lembap. Pasu keladi belang di laman depan yg agak terkena dedahan cahaya matahari, daunnya seperti melecur dan rosak. Apabila dialihkan ke tempat yg lebih redup, pokoknya kembali segar. Menurut pembacaan, ubinya boleh ditanam secara individu dengan memisahkan daripada rumpun asal. Setiap ketul ubi akan tumbuh membentuk menjadi pokok rumpun yang baru. Tetapi buat masa ni tak bercadang nak buat belahan rumpun lagi sebab ada banyak lagi pokok2 lain yg lebih penting untuk dijaga \^_^/



Wednesday, January 16, 2013

Pandan pewangi kabinet dapur

Assalamualaikum,
Pokok pandan ini saya beli di Nurseri BaitulHidayah, Puchong. Alhamdulillah, pandan membesar dan terus beranak-pinak. Disebabkan banyak sangat daun-daun pandan jadi agak membazir kalau tak digunakan. Jadi, saya telah menjadikannya pewangi dalam kabinet dapur. Potong kecil-kecil dan masukkan dalam bekas. Seminggu sekali saya akan tukar daunnya kalau rajin. Kalau tak rajin sebulan sekali :) Daun lama yg dah kering akan dimasukkan ke dalam tempat kompos atau diletakkan sbg mulch dlm pasu. Daun pandan juga digunakan tatkala memasak nasi. Saya suka dengan bau nasi yg dimasak bersama daun pandan. Bertambah berselera makan! Pokok pandan yg lebih kecil diambil dari Petak Hijau Muhibbah (petak hijau lagi? lain kali saya cerita :)). Kecil-kecil si daun pandan tapi aroma wanginya mmg kuat. Nanti bila ke Petak Hijau Muhibbah akan ambil lagi anak pokok pandan ni.


Tuesday, January 15, 2013

Petak asin-asin meriah

Assalamualaikum,
Asin-asin adalah nama yg dipanggil Mr Chef. Pokok ini adalah salah satu dari pokok kesayangan Mr Chef kerana ia mengingatkan kepada arwah ibunya. Nama biasa yg diguna pakai adalah cekur manis. Mr Chef mmg sangat suka makan asin-asin. Jadi berjangkitlah kpd kami anak-beranak. Mmg sedap pun kalau dimasak bersama cendawan atau dibuat masak lemak putih. Walaupun daunnya berwarna hijau tapi rasanya manis.

Saya semai menggunakan batang lebihan yg dibeli di pasar. Sebelum semai, saya akan letak rooting powder sikit di hujung batang. Alhamdulillah, hidup segar bugar. Sudah beberapa kali tuai dan batangnya digunakan semula utk semaian. Musuh utama asin2 adalah ulat beluncas. Mmg boleh dogoi lah pokok kalau beluncas datang menyerang. Beluncas panjang2 pandai main sorok2 di ranting daun2nya. Sekali jumpa mmg kutip dan buang. Sempat jugalah beluncas2 ini menghadam sepokok asin2. Paling seronok anak-anak saya. Sejak saya berkebun macam2 serangga mereka tengok. Kadangkala, bunyi cengkerik memecah kesepian malam. Saya tidak berasa terganggu, malah terasa tenang, mengingatkan kembali tempat saya dilahir dan dibesarkan, di kaki Banjaran Bintang.



Dalam petak asin-asin ni juga di bawahnya terdapat thai basil, pudina,  cekur dan bayam malabar merah. Cekur hidup subur dalam petak ini. Thai basil pula memanjang mencari cahaya agaknya. Ini kerana petak asin-asin ni mendapat sedikit cahaya pagi dan sedikit cahaya tengah hari. Kawasannya agak terlindung dari panas terik. Pudina yg daunnya sering saya gunakan semasa minum green tea petang2 dan kadangkala dibuat ulam mmg tak jemu membiak :) Alhamdulillah.








Monday, January 14, 2013

Pokok limau purut bercabang dua

Assalamualaikum,
Pokok limau purut ni saya beli di nurseri kawan saya di Kampung Melayu Sg Buloh semasa beraya di rumahnya tahun lepas. Sambil beraya sambil membeli-belah pokok2 :) Daunnya Mr Chef selalu gunakan untuk tom yam dan paprik. Tak banyak guna sangat pun. Kalau dilihat ada 2 pokok ulam raja yg dah macam beraja di pasu limau purut. Nampak ulam raja pula lebih dominan. Nak buat macam mana, memang ulam raja ni champion dalam Petak Hijau. Menempek sana dan sini. Saya tak kisah.  Sebab saya mmg suka makan ulam raja :)


Sunday, January 13, 2013

Kesum nan sepasu


Assalamualaikum,
Daun kesum sudah banyak kali saya tuai kerana Mr Chef suka masak asam pedas dan nasi goreng kerabu. Saya semai pokok kesum dengan menggunakan lebihan batang yg dibeli di pasar. Apabila pokok membesar dan dituai, batang tersebut digunakan semula untuk menyemai lagi. Selalunya, saya akan rendam dahulu batangnya. Apabila akar2 halus keluar baru saya akan tanam dalam bekas ini. Sebelum ni pokok kesum tak serimbun ni. Tapi setelah dipindahkan berhampiran paip, besar2 pula daunnya. Mmg pokok ini water-friendly :) Alhamdulillah.



Saturday, January 12, 2013

Kitar semula botol yogurt sbg label tanaman

Assalamualaikum,
Pada mulanya saya guna kayu aiskrim sbg label tanaman. Anak2 saya pula menjadikan alasan ini utk makan lebih banyak aiskrim (grrrrrrr....). Jadi saya beli satu peket kayu aiskrim di kedai alat tulis. Setelah kayu aiskrim yg dibeli habis digunakan, saya rasa macam membazir pula nak beli lagi. Saya cuba cari alternatif lain yg praktikal dan percuma :)

Anak2 mmg sukakan air yogurt. Botol yogurt yg berwarna putih menarik hati saya yg mmg tgh mencari alternatif bg label tanaman. Jadi, saya telah potong atas dan bawah bahagian botol kerana kawasan tu agak keras. Kemudian potong panjang2 tapi senget2 spy mudah nak cucuk di tanah. Satu botol saya blh dpt 24 keping label. Alhamdulillah. Lebih dari cukup nak buat label tatkala menyemai.


Friday, January 11, 2013

Jus Rosselle laris!

Assalamualaikum,
Jus mmg rossele menjadi kegemaran anak2 saya. Minggu lepas saya tuai rosselle buat jus tapi tak sampai setengah hari dah habis.  Laku sungguh! Saya pun tak sempat nak merasa. Saya perlu tanam lebih banyak pokok rosselle!

Saya ada 3 pokok rossele. 2 daripadanya telah membuahkan hasil dan satu lagi baru sekaki tingginya. Rupanya bunga rosselle ni lebih kurang sama dengan bendi cuma warnanya berbeza. Saya beli peket kedua dari tanamsendiri.com baru menjadi 2 pokok. Satu pokok lagi adalah benih pemberian bos. Saya berazam untuk mengutip benih dari pokok sedia ada untuk menanam lebih banyak pokok rosselle. 



Pokok rossele di bawah adalah diambil di rumah jiran mak saya di kampung. Memang meriah dan cantik sungguh pokok rossellenya tapi sayangnya telah ditebang cuti sekolah disember lepas. Sekali pandang mmg tak perasan, dah lalu lalang byk kali pandang baru perasan pokok rosselle sebenarnya! Terpegun juga tgk rosselle ni. Mmg menjadi sumber inspirasi! Masya Allah! Allahuakbar!


Thursday, January 10, 2013

Bayam malabar merah sedap dan berkhasiat


Assalamualaikum,
Benih bayam malabar merah yg saya semai mmg lama juga nak bercambah.  Yg ini pun dikutip dari tempat kompos. Bila dah bercambah, cepat pula pertumbuhannya. Pokoknya yg cepat meninggi pernah rebah ke bumi sekejap sebelum saya letak trelis bulat2. Dalam pasu ni ada 3 pokok. Mmg sejuk mata memandang bila ketiga2nya berlumba2 memanjat trelis.

Setakat ni dah sekali tuai. Mr Chef goreng dengan sos tiram, cili dan telur bersama bendi. Sedap juga. Pernah juga petik daunnya dibuat ulam. Rasanya not bad. Bolehlah ditelan :) Dikatakan bayam malabar merah ni dpt membantu membaiki organ2 dalaman yg rosak. Ada lagi 4 pokok yg berada di kawasan berbeza di Petak Hijau. Tapi yg dalam pasu ni plg cepat pertumbuhannya. Mungkin yg lain2 tu ditanam atas tanah dan tanah di depan laman saya tu pun bukanlah elok sangat. Jom cuba tanam dan makan!




Wednesday, January 9, 2013

Membesarkan wilayah Petak Hijau

Assalamualaikum,
Disebabkan kawasan rumah saya yg terhad untuk bertanam itu dan ini, jadi saya telah membesarkan wilayah kebun hingga ke utara tanah air :). Kawasan tepi rumah mak telah ditukarkan menjadi sebuah kebun. Saya namakan Petak Hijau Seri Bayu. Mak juga membantu. Puas juga pujuk mak supaya tak simenkan kawasan tepi tu. Semoga kawasan tepi rumah akan lebih ceria dan meriah dengan kehadiran pokok2 tanaman yg saya tabur.  Dahulunya kawasan ini dihuni oleh pokok anggur arwah abah. Tapi setelah perginya abah menemui Illahi, pokok anggur terbiar mati.

Gambar di bawah (diambil pada minggu ketiga bulan Disember) adalah Red Romaine Lettuce, Butter Bean Cherokee Wax dan jauh nun dihujung adalah Spagetti Squash. Benih dibeli dari kebunbahagiabersama.blogspot.com. Menurut maklumat mak minggu lepas, pokok kacang dan spaghetti squash telah mengeluarkan bunga. Alhamdulillah. Red Romaine Lettuce pula dah hampir separuh dituai sebab tak sabar nak makan. Di atas batas jauh nun pun ada jugak sekelompok red romaine yg makin membesar. Yg nampak hijau2 di bawah tu adalah kobis cina dan sawi menang. Di tepi-tepian adalah ulam raja. Yg berselang seli pula adalah pokok bawang. Alhamdulillah. Besar2 dan gemuk2lah wahai pokok2 di Petak Hijau Seri Bayu. Gembirakanlah hati mak saya (\^_^/)


Status terkini Butter Bean Cherokee Wax - akhirnya kacang menjelma


Status terkini sawi menang dan ulam raja - mmg menang.


Tuesday, January 8, 2013

Tomato yg berbunga tak berbuah

Assalamualaikum,
Pokok tomato saya ni mmg tinggi. Tinggi dari saya dan tembok tu. Tapi tinggi2 si tomato tapi berbunga tapi tak berbuah. Pelik sungguh. Benihnya saya ambil dari buah tomato yg saya beli dari pasar. Hujan yg lebat telah menyebabkan si tomato rebah tapi dah nampak bangkit kembali. Daunnya mmg dah bergulung di bawah tapi bahagian atas ok sikit dan tapi juga ada pucuk yg dah kekeringan.  Teringin sangat2 nak makan buah tomato tanam sendiri. Buat masa ni saya biarkan si tomato menyelamatkan diri sendiri sbb macam tak berharap sangat dah pun :) Saya hanya tolong letak air ikan 2 minggu sekali. Ada lebih kurang 5 pokok tomato baka 303 dari tanamsendiri.com perlu dialih. tak dapat dialih kerana kekurangan tanah, bekas dan masa :(





Monday, January 7, 2013

Kari Kenangan


Assalamualaikum,
Pokok kari ini adalah pemberian arwah abah saya. Asalnya setinggi satu kaki saja. Mula2, saya biarkan pokok ni survive sendiri. Lama kelamaan pokok kelihatan makin mengecil dan mcm terbantut. Sbb ia adalah kenangan daripada arwah abah, jadi saya berusaha memulihkan pokok kari ini dgn meletak baja dan air perut ikan. Alhamdulillah, pokok kari makin besar bagai johan.

Saya mmg suka makan pucuk kari sbg ulam. Mmg sangat sedap. Arwah mak mertua saya yg perkenalkan pucuk kari muda sbg ulam. Tapi sejak kebelakangan ini, pucuk kari muda sudah berkurangan dek kerana ada makhluk2 kecil menjadikan makanan mereka. Mmg byk serangga sukakan pokok kari ni. Saya biarkan saja. Tak mengapalah rezeki mereka kali ni. Daun kari selalu digunakan dalam masakan kari (of cos!) dan sedap digoreng sekali dengan udang besar masak kunyit bersama biji sawi. Anak2 saya sgt suka.

Semasa pokok ulam raja induk saya giat mengeluarkan benih, ada beberapa benih ulam raja menempek di dalam pasu pokok kari. Seperti nasib pokok limau kasturi, ulam raja pun telah beraja dalam pasu pokok kari. Berkawanlah anda berdua baik2.





Sunday, January 6, 2013

Alih, potong dan letak semula

Assalamualaikum,
Hujan rahmat yg tidak jemu turun setiap hari telah menggalakkan pertumbuhan rumpai2. Jadi saya telah mengalih semua pokok2 untuk memudahkan saya membuang rumput rumpai. Awalnya, sungguh bersemangat saya nak potong sendiri rumput rumpai. Bolehlah juga mengeluarkan peluh2 terpendam. Tapi bila semua pokok2 dialihkan, dan sakit pinggang, dan lenguh di sana sini, kemudian saya mengambil keputusan untuk outsource saja kerja tersebut. Saya panggil tukang potong rumput yg sedang berkeliaran mencari pelanggan. Alhamdulillah, satu kerja telah selesai. Dapatlah satu plastik besar rumput yg akan dihumbankan ke dalam tempat kompos. Inilah salah satu kebaikan tanam dalam bekas, boleh dialihkan sesuka hati. Gambar sebelum saja ada, yg selepas terlupa nak ambik dek kerana terlalu penat (\^_^/) 



Saturday, January 5, 2013

Kobis Cina segar bugar


Assalamualaikum,
Asalnya saya bukanlah seorang yg suka makan sayur. Tapi sejak berumahtangga, saya terpengaruh dgn suami yg mmg hantu sayur. Suami yg juga Mr Chef di rumah, selalunya akan buat 2 jenis masakan yg berunsurkan sayuran. Mmg saya kene tanam sayur yg pelbagai jenis lagi supaya tak bosan asyik makan sayur yg sama. Kobis cina adalah sayur yg menjadi dgn elok. Alhamdulillah. Saya tanam, Mr Chef masak! :)

Saya dapat benih kobis cina percuma dari tanamsendiri.com. Saya buat semaian terus ke dalam polisterin dalam bekas yg ada pokok kunyit. Benihnya sangat bernas. Bernih bercambah dalam masa 2 hari. Pokoknya dipayungi sikit oleh ulam raja. Diperhatikan tidak terdapat serangan serangga perosak ke atas kobis cina. Alhamdulillah. Dapatlah 3 kali digunakan dalam masakan Mr Chef. Pada pendapat saya kobis cina sesuai disemai terus ke dalam bekas. Pokoknya agak fragile untuk dialihkan. Ini kerana, 3-4 pokok saya alih terbantut dan akhirnya mati.

Sesungguhnya berkebun mmg dapat menghilangkan stres. Kerja sepenuh masa 9-6 mmg memenatkan otak. Alhamdulillah, apabila sampai rumah melihat pokok2 yg semakin membesar (buat2 tak nampak tanaman yg semakin mengecil dan mengering) berbunga2 hati saya, lalu mood pun menjadi baik untuk mendengar cerita anak2 pula. Sesungguhnya adalah fitrah bila kita berasa tenang apabila melihat hidupan ciptaan dan kurniaan Allah. Seperti yg selalu Ustaz Pahrol kata, lihat nikmat, ingat Pemberi nikmat.

Panduan menanam sendiri Kobis cina ini boleh didapati di sini.




Friday, January 4, 2013

Bendi untuk Beginner (Hibiscus esculentus)

Assalamualaikum,
Memang sangat mudah menanam bendi untuk pekebun beginner macam saya ni. Benihnya mudah bercambah dan cepat membesar. Hasilnya yg agak memberangsangkan memberi semangat untuk menanam sayur-sayur yg lain (yg lebih mencabar) pula. Jika ada sayuran yg tidak menjadi, saya akan merenung melihat pokok2 bendi saya yg tidak jemu  memberikan hasil. Jadi saya akan rasa bersyukur dan bersemangat lagi utk mencuba. Saya ada 5 pokok bendi. 3 pokok darinya adalah bendi emas. Alhamdulillah, setiap hujung minggu mmg dapat bendi yg banyak, sehingga dapat dibawa pulang ke kampung cuti sekolah yg lepas. Juga membawa bukti kepada mak yg anak dia ni betul2 nak berkebun :)

Saya juga cuba untuk tanam bendi terbalik, tapi hasilnya tak banyak. Pokoknya kecil dan kurus. Mungkin kurang baja sebab asyik tumpu yg atas tanah dan yg tergantung kat atas kadang2 terlupa (nak siram pun!). Di samping itu saya tanam pula sawi yg pon tak berapa nak besar dalam baldi bendi terbalik tu. Mungkin menyebabkan kedua2nya tidak mendapat nutrien yg cukup. Tanam pokok terbalik ni mmg agak merisaukan saya sebab takut baldi tu jatuh menghempap pokok2 di bawahnya. Risikonya nak jatuh tu ada. Mungkin lain kali saya fikir banyak kali untuk tanam pokok terbalik macam ni. Kene cari bekas yg kukuh dan tak fragile macam ni.

Panduan menanam sendiri bendi boleh didapati di tanamsendiri.com ~ Tanam Sendiri Bendi. Memang sangat mudah faham dan membantu mendapatkan hasil yg memberangsangkan.


Thursday, January 3, 2013

Limau Kasturi berbunga harum (Citrus microcarpa)

Assalamualaikum,
Pokok limau kasturi ni saya beli di nurseri kawan saya di Sungai Buloh. Limau kasturi adalah di antara pokok tanaman kami yg terawal. Masa tu tak pandai lagi nak bertanam sayur-sayuran. Selepas 2-3 bulan pokok limau kasturi ni mengeluarkan bunga yg sangat banyak. Saya yg tak pernah tgk bunga limau kasturi menjadi sungguh pelik. Adakah betul ini pokok limau kasturi? Berbau harum pula tu. Suami suruh saya sms kawan di Sg Buloh tanya perihal pokok limau kasturi yg berbunga harum, kot salah ambil pokok. Akhirnya setelah maklumat dicari, betullah itu adalah bunga limau kasturi. Lucu sungguh! Jahilnya kami pasal tumbuhan. Padahal asal dari kampung ~ Orang kampung yg take things for granted! Sesungguhnya dunia tanam sendiri bagi org yg tidak berpengetahuan macam kami ni penuh dengan kejutan!

Buah limau kasturi semakin membesar dan saya tak pasti bila masanya saya boleh tuai buahnya. Tunggulah besar sikit lagi dan macam kuning2 sikit kot. Ada lebih 10 biji limau kasturi menunggu untuk masak. Asalnya mmg banyak tapi ada yg saya buang sebab nak tinggalkan beberapa biji saja dalam satu tangkai (Agak kurang pasti samada amalan ni betul atau sebaliknya). Apabila hujan lebat, banyak pula buah2 muda  yg gugur ke bumi. Tinggallah beberapa saja yg masih bertahan. Harap dapat bertahan supaya kami boleh gunakan untuk buat teh 'o' limau panas untuk minum petang :)

Kalau diperhatikan ada sepokok ulam raja yg dah menjadi raja di dalam pasu limau kasturi. Saya biarkan saja. Biar mereka berkawan :) mungkin boleh jadi buddy yg baik utk pokok limau kasturi yg selalu menjadi santapan ulat bulu. Limau kasturi ini beberapa hari yg lepas mengeluarkan bunga lagi. Alhamduilllah, telah nampak putik2 kecil membentuk buah. Saya mengamalkan menyiram dengan kepala dan perut ikan yg dikisar 2 minggu sekali.

Saya tak jumpa laman yg khusus membincangkan kaedah tanam sendiri limau kasturi. Kaedah penanaman limau yg umum boleh di dapati di ~ Kaedah penanaman limau dari Portal Pertanian Perak.




Wednesday, January 2, 2013

Kucai sudah berbunga (Allium tuberosum)

Assalamualaikum,
Pokok kucai ini diberikan oleh seorang rakan di pejabat. Setelah 3 minggu ditanam dan tidaklah besar mana pun rumpunnya, tiba-tiba pokoknya mengeluarkan bunga. Agak terkejut juga. Alhamdulillah, dapat juga menyerikan Petak Hijau yg kebanyakannya berwarna hijau. Bunga putih pun jadilah kan.

Untuk kaedah tanam sendiri kucai boleh rujuk di tanamsendiri.com. In shaa Allah sangat membantu ~ Tanam Sendiri Kucai





Tuesday, January 1, 2013

Sebelum dan selepas

Assalamualaikum,
Dulu, laman rumah saya hanyalah rumput nan hijau dan terdapat beberapa pokok hiasan yg berfungsi untuk mengindahkan kawasan laman rumah. Setelah berkebun, laman tidaklah sekemas dulu tapi sekurang-kurangnya mendatangkan hasil untuk menjadi bahan dalam masakan di dapur keluarga kecil kami. Contohnya 5 pokok bendi dah lebih dari cukup utk bekalan kami setiap hujung minggu. Dapat juga menambahkan buah-buah pahala apabila hasil tanaman dapat diberikan kepada jiran. Mungkin kene menambahkan sedikit seri kebun dengan menanam beberapa pokok bunga. Tanaman bunga apalah yg sesuai di Petak Hijau ni ye?