Monday, May 20, 2013

Large wood box to give away

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Kotak ini besar. Boleh juga lah nak buat keranda :) Papannya tebal. Ukurannya ~ 2.5' X 2.5' X 5'.Mr Chef ambil dari tempat kerjanya. Baru-baru ini saya terjumpa sekumpulan anai-anai di Petak Hijau. Jadi saya bercadang tidak akan menggunakan kotak kayu ini untuk menanam pokok. Jadi, kepada sesiapa yang berminat, bolehlah datang ambil kotak kayu ini di rumah saya. Ia percuma sahaja. Tetapi perlu datang dengan kereta pick up atau lori kecil. Boleh hubungi saya terus di zamzurina@gmail.com.




Sunday, May 19, 2013

Mempelam telur Desiring Jannah


Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Kami tujuh orang semuanya. Kami bertemu di Kolej Pertama Universiti Malaya semasa menjadi penuntut ASASI Universiti Malaya. Tatkala itu, kami tidak langsung mengenali di antara satu sama lain, tetapi kami sungguh senang berkawan bersama-sama. Setahun kemudian kami berpisah mengikut haluan masing-masing ke peringkat Sarjana Muda. Ada yang mengambil bidang Kejuruteraan, Ukur Bahan, Sains, Pergigian dan Sains Komputer. Ukhwah selama setahun di ASASI berkekalan sehingga ke hari ini. Syukur Alhamdulillah.

Setelah hampir setiap hari kami bertemu secara maya di Whatsapp group, pada hari Buruh 2013 yang lepas kami berjumpa di BBQ Potluck Gathering di rumah salah seorang sahabat. Seorang tidak dapat hadir kerana dia jauh nun di Labuan sibuk menguruskan klinik pergigiannya. Tetapi dia sentiasa di hati kami. Kan Long! Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengukuhkan lagi tali persahabatan kami dengan upacara menanam pokok mempelam telur beramai-ramai di rumah sahabat tersebut. Alhamdulillah, semua orang teruja terutama KIDS! Terima kasih kepada Diana Kebun Bahagia Bersama di atas pemberian pokok ini. Semoga pokok ini dapat membesar dengan sihat. Kami akan datang lagi untuk menuai hasilnya pula nanti :) Terima kasih tak terhingga tuan rumah suami isteri kerana menerima kunjungan kami dengan hati terbuka.


Asalnya semasa mendapat bungkusan daripada Diana, saya tidak pasti di mana perlu saya tanam pokok ini kerana rumah kami mempunyai ruang yang terhad untuk pokok yang besar. Dengan rumah baru yang lebih besar dan selesa, semoga pokok mempelam telur akan sihat membesar bagai johan.



Para bapa yang sedang memanggang kambing, lembu, ayam, jagung, roti dan sayur-sayuran sambil bercerita tentang PRU13



Semua teruja nak tanam. Lepas tanam nak siram pula! Tabik kat semua yang sporting panjat bukit tanam mempelam telur!



Si cilik yang tak jemu membantu.



Mempelam Telur Desiring Jannah sebagai tanda persahabatan kami.



Semoga kami dapat bersahabat hingga ke syurga!






Friday, May 17, 2013

Hasil tuaian minggu kedua Mei 2013

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Minggu kedua Mei 2013 ini saya menuai semua yang boleh dituai sehingga habis. Tatsoi mengetuai hasil tuaian kali ini. Mr Chef masak dengan sos tiram. Kids pun suka. Licin semua tatsoi yang diletakkan dalam pinggan mereka. Long Scarlet Radish yang sudah tua juga dituai. Hanya sepokok sahaja yang hidup. Syukur alhamdulillah. Kali ini bunga telang lebih banyak hasilnya. Kids dengan rajin menolong mamanya menuai bunga telang. Masing-masing berebut-rebut nak cari tuai bunga telang nak banding siapa yang paling banyak. Upahnya saya telah buat sirap biru dan masukkan jus dari sebiji lemon. Bendi banyak yang dituai tetapi hanya 1/4 saja yang boleh guna. Banyak yang sudah tua mengeras dan terpaksa masuk kompos.



Daun tatsoi sangat cantik. Ini kali pertama makan tatsoi. Syukur alhamdulillah.



Pegaga gajah juga dituai untuk diberikan rakan sepejabat. Menurutnya, adiknya menggunakan pegaga gajah ini untuk menambah susu badan.


Thursday, May 16, 2013

Petola menjalar di pagar batu

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Sungguh gigih petola ini. Sampai ke pagar batu pun dipanjatnya.


Wednesday, May 15, 2013

Semaian PRU13

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Sempena PRU13 yang lalu, kami pulang ke utara tanah air untuk melaksanakan misi dan tanggungjawab memilih pemimpin. Kami pulang menaiki Keretapi Senandung Langkawi seperti kebiasaannya. Ya, kami sekeluarga sering pulang ke kampung menaiki keretapi. Ia mudah dan tidak memenatkan. Kebiasaannya kami akan mengambil Koc Tidur Kelas Superior (ADNS). Hanya perlu naik tren dan tidur sahaja, esok pagi dah sampai. Kids pun memang dari kecil sudah biasa naik tren sehinggakan, jika balik kampung naik kereta mereka akan mengomel sana sini sebab tak seronok. Naik keretapi lagi seronok.


Koc Tidur Kelas Superior (ADNS)
(Sumber gambar : www.ktmb.com.my)


Kelihatan 3 lelaki sedang menunggu keretapi di Stesen KL Lama. Kids tak pernah jemu tanya perihal keretapi dengan abahnya. Sehinggakan kids boleh bezakan antara tren penumpang, tren ETS Gold dan Silver, myCommuter (tren baru), komuter lama dan komuter lebih lama (kepala rata).



Saya juga pulang bersama misi terpendam membawa benih-benih yang dibeli untuk ditanam di Petak Hijau Seri Bayu. Rumah mak yang bertanah tepi mudah untuk saya tanam pelbagai tanaman yang sudah lama tersemat di hati. Hari pertama sampai, saya membuat operasi mencerahkan kawasan yang ingin ditanam, membuang segala rumpai dan mencabut tanaman yang sudah tua. Semasa membuang rumpai, terdapat banyak anak-anak pokok inai tumbuh. Terus saja pergi membelek pokok induknya. Memang banyak biji-biji benih. Kurang berminat dengan inai, saya cabut dan buang segala anak-anak pokok. Berseorangan, saya menggemburkan tanah dengan tekunnya. Kelihatan di bawah adalah pokok pisang kaki yang mak saya tanam. 



Hari yang sama juga saya mengajak Mr Chef ke nurseri berhampiran untuk membeli tanah kompos. Harganya agak murah berbanding di Shah Alam jika beli banyak beg. Di Shah Alam, beli 10 beg baru dapat harga murah. RM2 sebeg. Di sini, RM5 boleh dapat 3 beg. Jadi saya telah beli 24 beg! :)


Pada pagi hari pilihanraya, saya bangun awal. Bukan untuk bersiap pergi mengundi tetapi untuk memulakan kerja-kerja perkebunan saya :) Saya meletakkan tanah kompos di atas tanah yang digemburkan semalamnya dan menukar tanah di dalam pasu. Semasa itu, jalan memang agak sibuk dengan kenderaan lalu-lalang. Semua orang sibuk keluar mengundi, tapi saya pula sibuk menyemai sana dan sini :) Sebelum tengah hari saya dapat menyiapkan kerja-kerja dan pergi membuang undi dan terus pulang ke Alor Setar pula untuk Mr Chef membuang undi di sana.


Biji benih yang disemai adalah Baby Blue Jade Corn KBB, Royal Burgundy Long bean KBB, Sawi Hong Cut Flower tanamsendiri.com, Topweight carrot KBB, Petola bantal Semua Menjadi, Timun Betik Semua Menjadi, Small Sugar Pumpkin KBB, bendi Petak Hijau, Rosselle Petak Hijau, Evening Sun Sunflower KBB, Bauhinia Kockiana KBB dan Lollo Rosso Lettuce KBB. Ambitious! Saya pesan kepada mak supaya menyiram dua kali sehari jika tak hujan.

Bayam merah yang sudah berbunga dan berbiji benih.


Tiga pokok carrot topweight yang dialih dari tempat asalnya yang berdekatan pokok bunga telang. Tidak pasti boleh hidup sampai boleh dituai ke tidak.



Malam ahad itu kami pulang semula ke tempat bermastautin kami di Subang Jaya dengan menaiki keretapi juga :) Kali ini tidak boleh lelap kerana menunggu keputusan PRU13 yang sememangnya dinantikan ramai orang. Saya terima segala keputusan pilihanraya dengan hati terbuka dan berlapang dada. Sesungguhnya segala ketentuan adalah dariNya. Mari kita renung dan hayati ayat Allah ini.

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ali Imran ayat 26)

Setuju benar dengan pandangan Prof Kamil di http://muhdkamil.org/home dalam entri  pada 26 Jumada al-Akhir 1434  ~ KEMENANGAN & KEKALAHAN

Di sebelah mana pun kita berada - dipilih atau ditolak - ia suatu keputusan yang wajib disyukuri. Ada hikmat tersembunyi yang tidak dapat ditelah. Kedua-duanya adalah kemenangan jika dinilai secara cermat. Namun kuncinya, biar apa pun keputusan yang dicapai, ia sepatutnya membawa kita lebih hampir kepadaNya. 


Tuesday, May 14, 2013

Menanam timun dalam pasu gantung

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Pokok timun ini benihnya saya beli daripada tanamsendiri.com. Tidak pasti pula dari jenis apa. Saya semai 4 biji benih dalam pasu gantung di backyard. Hanya satu yang berjaya hidup hingga ke hari ini. Alhamdulillah, ia mula menjalar ke atas. Setakat ini, pokok timun ini selamat daripada serangan perosak. Ini bukanlah kali pertama saya tanam timun. Sudah beberapa kali saya cuba tapi tidak menjadi akibat serangan kekabuh timun. Saya harap kali ini dapatlah saya tuai hasil timun tanam sendiri. Baja yang saya gunakan untuk timun ini adalah baja tahi kambing.



Monday, May 13, 2013

Cili Italian Heritage Topepo/ Peppino

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Cili ini unik kerana ia bulat. Saya suka melihat jika banyak buah terhasil dan menjadi merah. Ia kelihatan seperti hiasan di laman rumah. Telah beberapa kali saya semai di Petak Hijau tetapi tidak berjaya. Ini adalah pokok yang ditanam di Petak Hijau Seri Bayu, di rumah mak saya. Cili ini tidaklah dijaga sangat. Membaja pun sekali-sekala sahaja. Tapi ia rajin berbuah walaupun buahnya tidak lebat. Syukur alhamdulillah.


Menurut mak saya, pokok cili dalam pasu ini pernah dimakan oleh lembu. Ya, lembu daripada estet kelapa sawit sering berlegar-legar di depan rumah.




Pokok ini menghasilkan cili peppino yang agak meriah. Syukur alhamdulillah.


Sunday, May 12, 2013

Kacang panjang renek

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Merujuk kepada posting sebelum ini, memang saya banyak menanam kacang panjang renek, alhamdulillah ini adalah satu-satunya sekelompok yang menjadi. Pasu ini letaknya di ruang kosong di antara rumah saya dan rumah jiran. Ia mendapat cahaya matahari dari pagi dan petang. Tiada baja yang diletakkan. Pertumbuhannya sungguh cepat. Kacang panjang renek ini adalah benih kongsi daripada Ibu Qistina. Syukur, gembira sangat apabila melihat kacang-kacang ini terbentuk hingga sebegini. Jiran sebelah ingatkan pokok hiasan, tak sangka pula ia adalah kacang panjang renek. Terima kasih Ibu Qistina. Syukur alhamdulillah.


Saturday, May 11, 2013

Bunga dan kacang Sengkuang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Saya menanam sengkuang di beberapa tempat yg berbeza. Benihnya diperolehi daripada Kebun Bahagia Bersama. Ada ditanam secara langsung di tanah dan ada yang ditanam di dalam container. Minggu lepas Petak Hijau meriah dengan bunga sengkuang. Minggu ini apabila balik dari bercuti PRU13, sudah nampak kacang-kacang sengkuang terbentuk. Menunggu dengan penuh sabar untuk menuai sengkuang :)




Friday, May 10, 2013

Hasil Tuaian Hari Buruh 2013

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hasil tuaian Hari Buruh 2013 sungguh meriah dengan cili kulai dan capsicum merah. Pokok Cili kulai telah saya buat hard pruning. Hasil nya telah diagihkan kepada jiran dan dibawa pulang ke kampung semasa PRU13. Capsicum merah pula dibuat vege grill dan dibawa ke BBQ gathering di rumah kawan saya.



Bendi, ulam raja dan peria katak dibuat ulam makan bersama nasi lemak. Pertama kali saya makan peria hasil tanam sendiri. Tidaklah pahit sangat seperti yang selalu saya makan.


Syukur alhamdulillah!

Thursday, May 9, 2013

Rumpai disangka Red Cabbage Acre

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Pokok ini saya belai dan jaga sejak ia bercambah.  Asalnya memang saya tabur benih red cabbage acre di situ. Tag pun masih ada. Setelah ia membesar timbul perasaan ragu-ragu. Terus saja saya bertanya Diana. Diana mesti pening-pening lalat nak jawab :) setelah ia berbunga barulah saya tahu ia adalah rumpai dan bukanlah tanaman yang saya semai. Saya mula perasan ada pokok yang sama di kawasan luar rumah. Pokoknya berbunga kuncup kecil. Banyak rama-rama singgah di pokok ini. Apabila matang ia akan kembang membentuk seperti kapas putih. Cantik. Jadi saya biarkan saja tanpa dibuang. Pada minggu lepas saya outsource kerja-kerja pembersihan kebun kepada Amir si tukang rumput. Kerjanya adalah memesin rumput, tetapi selalunya dia akan bersihkan juga kawasan sekitar kebun termasuklah membuang daun-daun kering. Tidak sangka pula dia nak buang pokok ini. Setelah memberi upah, saya pun meninjau-ninjau kebun yang kemas dan bersih tanpa rumpai, dan terlihat kotak polisterin yg berisi rumpai yang telah kosong serta tanahnya siap digembur! Selamatlah bunga rumpaiku!




Wednesday, May 8, 2013

Cili Kulai merah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Bulan April adalah bulan paling sibuk bagi saya di pejabat. Oleh kerana itu, tanaman-tanaman di laman rumah agak terabai. Cili Kulai yang meriah itu akhirnya telah menjadi merah dan ada yang terlalu tua dan buruk di pokok. Tetapi suka melihat cili-cili merah berjuntaian di pokok. Ini adalah gambar daripada salah satu pokok dari 3 pokok cili kulai.