Thursday, March 27, 2014

Penyeri Petak Hijau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung yang budiman,

Saya beli pokok Yellow Walking Iris di kebunbahagiabersama.blogspot.com. Baru sahaja beberapa minggu tanam, bunganya sudah muncul. Masya Allah, memang cantik dan unik.

Yellow Walking Iris


Sekarang banyak pula koleksi ros jepun saya. Seorang kenalan baru, bertukar-tukar tanaman, Azah namanya memberi banyak jenis ros jepun untuk menambahkan koleksi saya. Koleksi di bawah dibeli daripada nurseri di Seksyen 18 , Shah Alam. Harganya RM3 satu pot. Belum sempat alih ke bekas yang lebih besar dek kerana sedang fokus kepada pokok-pokok lain yang boleh dimakan.

Ros Jepun



Wednesday, March 26, 2014

Happiness is pulling out radish from your own frontyard

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Semalam adalah kali pertama saya menjalani fisioterapi. Alhamdulillah, sakit tapak kaki semakin berkurangan. Physiotherapist menegur tentang kasut saya. Kasut juga penyumbang kepada keradangan tapak kaki yang saya hadapi. Kasut saya yang buruk itu telah berkhidmat selama 2 tahun lebih. Physiotherapist menyarankan kasut ditukar setahun sekali atau beli pelapik letak di dalam. Akibatnya, pulang saja dari menjalani fisioterapi terus saja saya pergi beli kasut. Perlu dengar nasihat dari pakar. Tak nak sakit berulang lagi. Sebab memang sakitnya berdenyut-denyut.

Saya ambil anak-anak awal dari biasa dari rumah pengasuh. Muaz buat muka tak puas hati sebab tak sempat nak main bola sepak dengan kawan-kawan. Nak ambil hati anak-anak, saya bawa mereka makan Tutti Frutti kegemaran mereka. Masih lagi muncung senyap seribu bahasa tidak seperti biasa. Sesampai di rumah, mereka bersiap-siap nak mandi petang. Sebab nak ambil hati lagi, saya cadangkan mereka tarik keluar semua lobak putih di Petak Hijau. Seronok tak terkata, berebut-rebut kedua-duanya keluar nak cabut. Lepas ni kene tanam lobak putih banyak-banyak lagilah nampak gayanya.

Selain lobaknya, daunnya juga boleh dibuat sayur. Hasil tuaian semalam mendapati daun banyak dan subur. patutlah lobaknya tidaklah besar sangat. Apa-apapun syukur alhamdulillah kerana, tuaian petang semalam dapat dinikmati semasa makan malam. Mr Chef masak masak lemak putih dan kami goreng ikan amberjack lagi! Permintaan anak-anak nak makan ikan amberjack.

Jom tanam sendiri lobak putih di rumah. Ia mudah dan cepat dapat hasil. Biji benih boleh didapati daripada tanamsendiri.com atau kebunbahagiabersama.blogspot.com.

Lebar senyumannya dapat tuai lobak tanam sendiri


A circle of radish


A row f radish


Daun lobak putih


Makan sehingga licin pinggan.


Hasil tuaian di kebunbahagiabersama.blogspot.com. Bungkusan sampai semalam. Nam nam kegemaran  terus dimakan semalam. Kebun Bahagia Bersama mengadakan Pasar Online setiap minggu. Untuk maklumat lanjut boleh lihat di blog tersebut atau emel ke kebunkmg@gmail,com.


Tuesday, March 25, 2014

Hasil Tuaian Semalam, Amberjack dan Wolf

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yg dikasihi Allah,

Bukan perkara biasa apabila saya menuai pada hari Isnin :) Ya, semalam saya bercuti untuk membuat pemeriksaan kaki di SJMC dengan seorang orthopedik. Sakit tapak kaki ini sudah dialami selama setahun tetapi sejak kebelakangan ini semakin hari semakin sakit terutama apabila bangun pagi dari tidur. Doktor mendiagnos bahawa bahagian yang sakit itu telah mengalami keradangan. Di antara faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada keradangan ini adalah kenaikan berat badan, aktiviti seharian - sangat banyak berjalan atau berdiri dan proses penuaan :) Maka, esok saya akan mula menjalani fisioterapi selama 3 hari setiap minggu selama 4 minggu. Sebenarnya, bukan saya seorang yang mengalami simptom sakit tapak kaki ini. Di pejabat saya terdapat beberapa orang telah mengalami simptom dan sakit yang sama. Maaf, meyimpang jauh dari topik utama. Saya rasa perlu berkongsi cerita jika ada kawan-kawan ada mengalami simptom yang serupa boleh cepat-cepat jumpa ortopedik. Jangan sampai sakit berdenyut-denyut macam saya ni. Terjengket-jengket berjalan dari stesen KLCC ke pejabat yang jauhnya lebih kurang satu kilometer itu.

Berbalik kepada topik utama, hasil tuaian kali ini adalah untuk makan tengah hari. Mr Chef nak balik makan hari ini, nak makan ikan amberjack katanya :) Ikan amberjack ini istimewa kerana ia adalah pemberian seorang rakan sekolah Mr Chef. Seorang arkitek dan membuat kerja sambilan sebagai nelayan di laut dalam. Menarik tak! Fresh fish from the sea plus organic own grown vegetables. Kombinasi yang mantap untuk kesihatan. Mr Chef siap jemput best friend nya (yang juga jiran sebelah kiri kami) mai makan di rumah.

Kobis cina yang ditanam di dalam bekas tomato perlu dituai memandangkan cuaca yang terik dan sebelum pokoknya melecur kepanasan, jadi saya tuai segera. Bayam hijau daun bulat dan bayam amaranth memang tahan panas. Jadi, boleh tanam kedua-duanya dalam bulan Januari - Mac. Nota untuk diri sendiri. Bendi juga tahan panas dan mula meninggi bagai johan. Kami suka makan bendi rebus cicah budu ketereh. Memang sedap! Ulam raja adalah dari pokok tunggal yang baru sahaja dimusnahkan masuk dalam kompos untuk memberi laluan kepada pembesaran betik sekaki. Bersungguh-sungguh kawan Mr Chef yang berbangsa cina makan ulam raja tadi. Berkali-kali dia puji kesedapan ulam raja. Hint...hint.. nanti kami ajak datang lagi ya makan di rumah :) Daun bawang juga dituai untuk dijadikan hiasan masakan ikan masak kicap saya :)





Semasa tengah menyiram pokok waktu paginya, Wolf datang minta makanan. Beberapa hari lepas kami beri makan ikan bilis sebab Whiskies dah habis. Bukan main suka lagi. Hari ni tak nak makan Whiskies, tunggu  juga di situ nak suruh letak ikan bilis sambil buat muka kesian. Akhirnya terpaksa juga makan apabila saya kata hari ini ikan bilis tak ada. Makan saja apa yang ada. Jangan membazir. Dalam keadaan terpaksa makan jugala ia. Kucing pun suka makan yang original.






Sunday, March 23, 2014

Impian bengkang ubi kayu tanam sendiri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,


Keratan ubi kayu ini saya dapat dari Kebun Bahagia Bersama. Tercari-cari tempat sesuai di Petak Hijau yang sudah agak sesak dengan macam-macam tumbuhan untuk menanam keratannya. Akhirnya, dapat juga benamkan keratan di kawasan yang agak kosong yang agak tersorok berdekatan dengan paip depan rumah di sebelah kiri. Lepas tu memang tak peduli sudah perkembangannya dek kerana sibuk menguruskan bahagian Petak Hijau di sebelah kanan. Terkejut juga cepat pula ia membesar sampai setinggi ini. Sebenarnya, Mr Chef yang beriya-riya suruh tanam. Dia teringin nak makan bengkang ubi kayu tanam sendiri yang tukang kebun masak.

Dulu masa di Kampung Ulu Lenggong, Perak, pokok ubi kayu ini mudah sangat nak jumpa. Saya suka ikut Opah petik pucuknya untuk direbus buat ulam. Nostalgia juga apabila tengok pokok ubi kayu. Kenangan zaman kanak-kanak di kampung yang jauh di pedalaman tidak akan saya lupakan. Ia mengajar saya banyak perkara. Syukur alhamdulillah, saya melalui zaman kanak-kanak dengan cemerlang sekali. Main, main dan main.  KPI exceed limit during those old days :) Mak pula tidak paksa saya belajar. Asalkan siap kerja sekolah maka pergilah main sesuka hati. Tiada gadget yang nak dihadap. Walaupun masa tu sudah ada brick game tapi saya lebih suka main dengan kawan-kawan sekampung. Cabaran ibu bapa kini adalah anak-anak yang asyik mengadap gajet. Anak-anak kurang berinteraksi dengan orang tetapi lebih banyak main game di iPad atau Tab. Anak-anak saya juga tidak terkecuali. Cuma kami hadkan hanya hujung minggu sahaja boleh main. Itu pun setelah selesai kerja sekolah dan mengaji Al-Quran. Walaupun hujung minggu, tetapi khusyuknya dua-beradik tu main game tidak dapat dinafikan. Saya perlu fikir untuk perkenalkan aktiviti supaya mereka tidak terlalu taksub bermain game. Saya ada seorang sepupu yang sedang berusaha menjalankan kempen #boyznogadgetplz terhadap anak-anaknya. Banyak tip-tip yang boleh diikuti dan saya juga mencuba dan berjaya juga alih perhatian anak kepada aktiviti yang lebih menjana minda. Kawan-kawan boleh rujuk di blog Supermakwannabe.


Kalau pokok besar ni, ubinya besar mana lah ye.




Thursday, March 20, 2014

Tatsoi tahan panas

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,


Tatsoi atau spoon mustard atau rosette bok choy atau spinach mustard kali kedua ditanam pada awal Februari 2014 yang lepas. Banyak juga yang bercambah tetapi hanya satu yang dapat bertahan sehingga ke hari ini. Tatsoi ini berkongsi pasu dengan sepokok beetroot. Nampaknya, kedua-duanya bahagia hidup bersama. Seperti biasa, saya akan letak baja organik 2 kali seminggu untuk tanaman-tanaman di Petak Hijau. Alhamdulillah, hujan yang sudah mula membasahi bumi, memberi berita gembira buat saya dan kita semua tukang kebun sambilan yang tak sempat masa nak menyiram.

Tatsoi nan satu ini daunnya lebih besar dari tatsoi yang lepas. Mungkin faktor bekas yang lebih besar dan kurang kesesakan menjadikannya lebih besar dan subur di dalam pasu tersebut.

Biji benih dibeli daripada kebunbahagiabersama.blogspot.com.


10/3/2014


19/3/2014



Wednesday, March 19, 2014

Cili Padi Centil

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Tumbuhan renek saka sederhana besar boleh mencapai ketinggian 0.5-2 m. Batang bercabang banyak, dahannya berbuku-buku, batang tua separa berkayu, liat. Daun tunggal, sederhana besar, bertangkai seerhana panjang, susunan berselingan, berbentuk bujur telur dengan hujung meruncing, berwarna hijau muda. Bunga tunggal, sederhana besar, putih, berbentuk bintang keluar dari celah ketiak daun. Buah panjang menirus, berwarna hijau ketika muda dan bertukar merah apabila masak, bersaiz kecil, buah menghala ke atas, tangkai buah berwarna coklat, mengandungi banyak biji. biji kecil, berwarna coklat setelah matang.


Penyakit cili padi

1. Layu bakteria

Antara penyakit cili padi yang paling kritikal adalah Penyakit Layu Bakteria yang disebabkan oleh Phytium spp atau Fusarium spp yang mengakibatkan pokok yang diserang akan layu dan boleh mati jika tidak dikawal segera. Penyakit ini mudah menyerang tanaman cili padi terutama jika kawasan tersebut pernah ditanam dengan cili padi atau famili solanaceae lain dan tanah agak lembab. Kawalan untuk penyakit ini adalah dengan kaedah Amalan Pertanian Baik seperti mencabut pokok yang telah diserang dan membakarnya, semburan racun kulat , memilih anak benih rintang penyakit, kebersihan ladang dan jalankan giliran tanaman. Serangan boleh berlaku dari peringkat awal pertumbuhan sehingga pokok matang untuk berbuah. Jika berlaku pada peringkat awal penanaman perlu dijalankan sulaman anak benih. Jalankan pemantauan di kawasan tanaman cili dari kemungkinan jangkitan dari pokok yang telah diserang.

2. Kerinting daun

Penyakit Kerinting Daun yang disebabkan oleh Virus Tristeza merupakan satu lagi masaalah dalam penanaman cili padi dan sentiasa menjadi 'Kegusaran' kepada penanam cili padi. Pemerhatian petani mendapati apabila telah mula berlaku serangan kerinting daun pada satu dahan atau pokok ianya akan cepat merebak kepada pokok lain dengan cepat jika tidak dikawal dengan segera. Tanda serangan apabila dilihat daun muda yang aktif mula kerinting atau berkerekot atau bergulong dan kadang-kadang kekuningan sedikit bermula pada satu dahan dan akan membiak kekawasan lain. Akibatnya pokok tidak dapat menjalankan fotosintesis dengan cekap dan pengeluaran bunga akan terganggu atau tidak berbunga langsung. Lazimnya tunas-tunas baru tudak akan keluar dan jika ada buah pun saiznya sangat kecil (macam cili mini). Belum ada kajian terperinci bagaimana punca serangan tetapi serangga seperti koya, semut, aphids dan sebagaimya mungkin menjadi agen merebaknya penyakit ini selain daripada petani sendiri yang kurang menjalankan sanitasi. Kawalan dengan racun kimia hampir tiada langsung dan adalah disyorkan agar dahan pada pokok diserang dipotong dan dibakar atau jika serangan yang sangat teruk maka pokok dalam kebun tersebut dicabut dan dibakar. Kalau banyak pokok dalam kebun telah banyak diserang lebih balik musnahkan semua dan tanam baru.

3. Bintik daun

Penyakit Bintik Daun (Cercospora spp) pula mengakibatkan daun yang diserang berbintik dan mengurangkan aktiviti fotosintesis. dan boleh dikawal dengan semburan racun Benomyl. Penyakit Antraknos Buah Cili Padi yang disebabkan oleh kulat Collectotricum spp. akan merosakkan kualiti buah cili dan dikawal dengan semburan racun seperti Mancozeb. Perlu diingat setelah semburan racun dibuat jangan terus dipetik buah cili padi dan tunggu TDMH (Tempoh Dilarang Mengutip Hasil) seperti yang dituliskan pada label racun. Petani perlu menghasilkan cili padi yang berkualiti, Bersih, Berkhasiat dan yang penting tidak ada sisa baki raacun didalamnya. Kalau dikampong dulu memeng tidak pernah sembur racun pada pokok cili.

[sumber : wikipedia]



Hasil tuaian minggu lepas oleh Muaz


Cili Centil memang sangat banyak cabangnya


Saturday, March 15, 2014

Kangkung untuk kura-kura

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,

Kangkung ini Mr Chef beli di Checkers Seksyen 15 Shah Alam. Di Checkers, selalunya, bahagian akar tumbuhan yang dijual tidak dipotong. Mudah untuk kami biakkan semula :) Sebelum ini pernah cuba daun sup dan leek. Dapat juga hasil walaupun kurang memberangsangkan. Kali ini Mr Chef beli kangkung untuk dimasukkan ke dalam yong tau foo. Sejak pakcik yong tau fu sedap Seksyen 20 depan KPJ Selangor sudah tidak lagi berjualan, saya beli kuah dari rakan pejabat dan campur sendiri bahan-bahan di rumah.

Baki pokok kangkung Mr Chef letak dalam bekas kiambang. Alhamdulillah, 2 - 3 hari lepas tu ia tumbuh dengan subur. Saya hampir tak perasan dengan kehadiran pokok ini (sebab sibuk dengan pokok-pokok lain) tersenyum lebar melihat kesuburannya di dalam bekas kiambang. Mr Chef kata untuk diberi makan kepada kura-kura belaan Muaz dan Muhsin ~ Jadeite dan Delor. Sebelum ini kami beri kura-kura makan palet makanan tapi tak sampai 2 hari airnya dah busuk dan kotor. kura-kura Muaz dan Muhsin ni nampaknya gemar makan kangkung. Dua kali sehari kami bagi dalam kuantiti yang agak banyak, dapat juga ia makan sampai habis.








Wednesday, March 12, 2014

Warna-warni Petak Hijau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,




Ri Ri Ying

Blue Crossandra

Shocking Pink Vinca


Akar Dani



Pegaga Gajah


Water Hyacinth


Yellow Frangipani



Sunday, March 9, 2014

Hasil Tuaian Sabtu 8 Mac 2014

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan pengunjung yang budiman,

MasyaAllah, la quwwata illa billah (Al Kahfi : 39). Bayam Amaranth, Kangkung, roselle, lobak putih kampung, bendi, cili centil dan kobis cina adalah hasil tuaian untuk hari semalam. Tanaman-tanaman ini dapat bertahan dalam keadaan cuaca yang terik, jerubu dan tidak hujan. Kami hanya sempat siram pagi sahaja sambil terkejar-kejar ke pejabat. 

Self-seeded Bayam amaranth di sana sini tumbuhnya. Dulu saya ada tanam pokok bayam dan dibiarkan berbunga dan berbiji benih tetapi malas nak kutip biji benihnya. Tabur saja sana sini dalam Petak Hijau. Banyak pula pokoknya yang tumbuh sana sini dalam bekas tanaman. 

Kobis cina saya tumpang tanam dalam polibeg pokok moringa. Ia membesar dengan baik sekali. Cuma apabila Mr Chef menyatakan bahawa ia mungkin dapat mengganggu moringa (kesayangannya ^_^) saya pun tuailah semalam walaupun bukan masanya lagi. Hati Mr Chef perlu dijaga. Semua keperluan kebun ditaja olehnya ~_^

Musim buah roselle sudah berada dipenghujungnya. Telah hampir 5 bulan (sejak November 2013) jus rosselle menjadi air sedap rumah kami. Alhamdulillah jimat dapat kurangkan beli air sedap tetrapak dari kedai. Mengikut pengalaman saya, pokok roselle mudah dijaga. Tanam di tempat menerima cahaya matahari penuh, baja 2 minggu sekali dan hasilnya akan memberangsangkan. Saya letak baja serbuk kopi yang saya minta dari San Francissco Cafe berhampiran pejabat saya. Jimat duit beli baja. Banyak benihnya saya kumpul untuk peminat-peminat roselle. Dah ramai beratur hendakkan biji benihnya. Sabar ya kepada yang sudah menempah, saya akan agihkan sedikit masa lagi. 

Lobak putih kampung banyak sudah tertonjol keluar. Tidaklah besar mana pun tetapi apabila dah tertonjol, kids mulalah meminta untuk menuai lobaknya. Semalam, saya beri peluang kepada Muaz untuk menuai sendiri pokok yang ditanam. Jelas kegembiraan terpancar di wajahnya. Puas! Dapat tuai hasil tanaman sendiri.

Sekarang musim bunga di Petak Hijau. Seronok melihat pelbagai bunga yang kebanyakan, pokoknya dibeli kebunbahagiabersama.blogspot.com. Fragipani kuning, akar dani, white butterfly dan blue crossandra cantik menghiasi Petak Hijau. Cuma masih menunggu pokok pepanggil sahaja yang belum mahu jadi bunganya. Tak mengapa, sabar.


Saya sangat sibuk dengan tugasan di pejabat. Masa untuk berblog amat terhad, walaupun banyak cerita yang saya ingin kongsikan dari Petak Hijau. Jalan terus!


Alhamdulillah, rezeki hari Sabtu untuk santapan keluarga kecil kami.

Bayam amaranth yang kaya dengan iron. Mudah tumbuh dan sangat minima pengjagaannya.

Kacang panjang membesar dengan baik ketika musim panas ini. Teringat kata-kata Diana (kebunbahagiabersama) bahawasanya, kacang panjang sesuai ditanam dalam cuaca panas kering begini. Di dalam patch ini ada 3 pokok kesemuanya.


Ros jepun semua menjadi tidak putus-putus memberikan bunga yang comel sepanjang tahun kepada kami.


HAPPINESS IS....pulling out radish from your own garden.


Ini kucing jalanan. Ia selalu datang makan apabila Wolf tidak habiskan makanannya. Semalam ia datang tiada makanan. Kesian pula, jadi saya letakkan sikit makanan kucing dalam bekasnya. Gembira ia bukan kepalang dapat makan Whiskies Wolf. Kalaulah Wolf tahu, bergaduhlah lagi kat depan rumah.


Tragedi yang mencubit hati dan naluri saya. Sama-sama kita doakan mereka.



Friday, March 7, 2014

Mudahnya menanam lobak putih kampung

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

MasyaAllah, la quwwata illa billah (Al Kahfi : 39). Lobak putih sudah membentuk lobaknya :) bersedia untuk dimasukkan di dalam menu kegemaran Mr Chef ~ Lobak masak lemak putih bersama-sama daunnya sekali. Banyak juga kali ni saya tanam lobak putih sebab mudah nak jaga. Lobak putih tahan panas. Dengan cuaca yang panas sekarang ini dengan sedikit hujan, lobak putih dapat bertahan dan hidup agak subur berbanding tanaman yang lain. Jadi, saya akan masukkan dalam Gardening Planner saya bahawa lobak putih sesuai ditanam pada bulan Januari sehingga Mac.

Biji benih dibeli daripada tanamsendiri.com. Biji benihnya hampir 100% bercambah!



Projek kebun tadika Muhsin. Semuanya lobak! Mesti mereka akan teruja melihat hasilnya nanti.


Thursday, March 6, 2014

Hasil tuaian kacang tanah tadong

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Kacang tanah tadong saya tuai pada hujung minggu yang lepas apabila kelihatan daun-daunnya sudah kekuningan. Hasilnya tidaklah memberangsangkan tetapi telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada anak-anak teruna saya. Tak cukup, berebut kami anak-beranak. MasyaAllah, sukanya mereka (dan kami) makan. Saya hanya rebus saja tanpa letak garam/gula. Rasanya memang sedap! Rasa lemak manis. Muaz asyik mengingatkan saya supaya cepat-cepat tanam kacang tanah tadong lagi sebab dia nak makan lagi! Tak puas makan katanya.

Kacang tanah sesuai dijadikan tanaman selingan (crop rotation) disebabkan oleh keupayaannya menyuburkan tanah. Selepas ini saya perlu menanam di dalam bekas yang mendatar. Pokok yang ditanam ini meninggi mencari cahaya kerana bekas yang tinggi, tapi tanah di dalamnya saya letak sikit saja. Banyak sulur yang keluar tetapi tidak dapat disuntik ke dalam tanah kerana ketinggian pokoknya. Belajar daripada pengalaman. Insya Allah akan ditambah baik kepada cara penanaman seterusnya.


Biji benih daripada kebunbahagiabersama.blogspot.com.