Sunday, November 24, 2013

Teh hijau berdaun pudina

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,

Pokok pudina ditanam dari lebihan batang  yang dibeli di Checkers. Caranya adalah rendam dahulu batangnya di dalam air sehingga ia mengeluarkan akar. Kemudian cari tempat yang agak redup untuk disemai. Boleh juga ditanam di bawah teduhan pokok.

Semaian selepas Syawal 1434H tempoh hari sudah mengeluarkan banyak daun. Hanya sebatang saja hidup, yang lain semuanya mereput. Alhamdulillah syukur. Kami tanam pokok pudina untuk mendapatkan daunnya. Kadangkala, Mr Chef tuai untuk memasukkan di dalam masakannya, atau dibuat hiasan. Saya tuai untuk diminum bersama teh hijau kegemaran :)


Tuaian pudina dan daun cekur. Daun pudina dimasukkan ke dalam teh hijau, sementara cekur dimayang halus untuk dimasukkan ke dalam sandwich tuna. Sedap!






Close up pokok pudina di dalam patch herba. Jaring besi diletakkan untuk melindungi kucing membuang di situ. Saya menanam kunyit hitam pemberian Mak Aji di situ.


Pokok berdaun panjang atas kanan telah terlupa namanya. Ia adalah sejenis pokok bunga dibeli dari Diana. Mohon Diana tolong kenalpasti pokok bunga apakah ini.


Friday, November 22, 2013

Tuaian Hujan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang dikasihi Allah,

Jumaat yang lepas, tuaian dilakukan pada keadaan hujan renyai-renyai. Kununnya tak nak panas-panas, nak sejuk ala-ala Cameron Highland! Lepas tu sudah sudah mula pening kepala dan tersumbat hidung. Jika dulu, di Lenggong, main hujan adalah perkara biasa bagi saya dan kawan-kawan. Hujan di Lembah Klang ni memang dasyat. Kene sikit, sakitnya banyak! Tak mengapalah, sakit itu penghapus dosa-dosa kecil. Jalan terus :)

Hasil tuaian macam lebih kurang sama saja sebab semaian baru masih belum nampak batangnya.Kemeriahan hasil roselle memang terasa. Sebab saya sendiri yang nak menuai roselle yang merah memanggil-manggil inilah keluar juga walau hujan datang bertandang. Anak-anak senyum memanjang apabila dapat stok air roselle sepanjang masa. Stok jus roselle sentiasa ada di dalam peti ais. Alhamdulillah.

Hasil tuaian minggu lepas


Jangan ditiru sikap pemalas saya nak alih semaian ke tempat yang lebih sesuai, Kasihan pokok-pokok roselle tak sempat nak alih. Membesar juga dalam keadaan sempit begitu. Sudah berbuah juga!

Buah-buah roselle kelihatan merah memanggil-manggil mintak dituai. Pokok roselle sedang jadi juara di Petak Hijau sekarang :)

Wednesday, November 20, 2013

Bendi nan sebatang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,


Bendi ini saya tanam di atas tanah. Cara menanamnya adalah mengikut cara sifu Diana. Semasa nak pergi kerja, tabur saja dengan harapan ia tumbuh subur :) Alhamdulillah, dapatlah sepokok begini. Setelah berjaya menanam bendi di atas tanah untuk pertama kali dan berjaya, sebab itulah nak tanam juga kali kedua di atas tanah. Tanah di rumah saya, saya percaya penuh dengan batu batan di bawahnya. Tanah pula keras. Tak yakin langsung pokok boleh tumbuh dengan subur. Testimoni bendi sudah ada, lepas ni kita buat batas atas tanah yok! :)

Percubaan kedua tanam bendi atas tanah

Monday, November 18, 2013

Bunga telang kembali

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pengunjung yang dikasihi Allah,


Sebelum ini telah saya cantas pokok bunga telang ini dari Petak Hijau kerana saya ingin menanam pokok yang lain di sini. Tanpa disedari ia muncul tiba-tiba dan mula melilit pagar kembali. Kali ini ada dua pokok, satu di bahagian depan dan satu lagi di bahagian belakang pagar. Dua-dua pun sama naik berlumba nak melilit. Syukur alhamdulillah. Sirap biru kembali lagi! :)



Saturday, November 16, 2013

Water Hyacinth Kembang Malam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang budiman,


Alhamdulillah dapat jua menatap bunganya walaupun pada malam hari. Dua sekali muncul bagi tukang kebun tengok. Bangun esok panginya sudah layu.

Selamat cuti sekolah kepada para murid dan para guru. Tahun ini teruja melihat rakan-rakan menghantar anak-anak ke Kem-kem Tahfiz. Masya Allah! Allahuakbar!

:)


Friday, November 15, 2013

Pemotong Rumput Professional

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Amir telah menjadi pemotong rumput rumah kami sudah hampir 2 tahun. Berbangsa Pakistan (firasat saya) dia memang sangat tekun dengan kerjanya. Berbekalkan sebuah motor dan sebuah mesin rumput, ke hulu ke hilir dia mencari pelanggan untuk perkhidmatan memotong rumput. Kebanyakan pemotong rumput sebelum Amir sangatlah tidak professional. Potong rumput ala kadar, kemas pun ala kadar. Lepas tu mintak bayaran tinggi! Selepas itu kami bertindak tegas dengan tidak mengambil lagi khidmat pemotong rumput yang telah disenaraihitamkan walaupun rumput panjang berjela!

Amir tidak pula meletakkan harga bayaran khidmatnya. SMS sahaja suruh datang pagi. Tak sampai 5 minit sudah ada depan rumah! Potong rumput dengan kemas. Mencabut rumput di dalam pasu-pasu yang penuh rumput. Menerima arahan dengan tidak memesin pokok-pokok yang tidak sepatutnya. Menyapu rumput-rumput dan mengemas laman dengan elok :) Kami sangat puas hati. Mr Chef bermurah hati memberi bayaran tambahan (dari harga yg diminta oleh perumput tak professional) kepada Amir. Pernah kami sms untuk datang ke rumah memotong rumput tapi dia di Bangsar tengah memotong rumput rumah orang! Jauh tu.... Sesiapa yang ingin menggunakan khidmat pemotong rumput Amir, bolehlah sms dia 0166386135.




Kawasan kiri dan kanan Petak Hijau


Si Pemotong Rumput yang minta tali untuk mengikat pokok Roselle ini. Proaktif! 

Lupa nak beritahu jangan buang pokok pegaga. Habis pegaga saya dicabutnya. TIinggal saki baki yang harapnya dapatlah tumbuh kembali.



Thursday, November 14, 2013

Anak-anak terbitan Pepanggil

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pengunjung-pengunjung yang budiman,

Pokok pepanggil dibeli dari kebunbahagiabersama.blogspot.com. Pokok ini pernah mahu berbunga tetapi macam terencat tak keluarkan bunga. Pokoknya seperti berpenyakit terkena virus mozek. Suami Diana, semasa kedatangan mereka berdua ke rumah untuk mengambil kotak kayu give away pernah buat pernyataan bahawa, mungkin anak-anak pokok boleh muncul sana sini sambil menunjuk kepada porch kereta kami. Saya berasakan suami Diana berjenaka, tetapi setelah melihat anak-anak pokok terbitan pepanggil ini tumbuh sana sini, kenyataan suami Diana tu mungkin boleh jadi kenyataan.

Pokoknya yang tak merimbun dan bunganya yang unik memang membuatkan hati tertarik nak beli. Sekarang hanya perlu bersabar tunggu kemunculan bunganya. Sabarlah dalam bersabar! :)



Gambar lama semasa pokok pandan masih hidup. Pokok pandan kami mati kekeringan semasa balik hari raya lepas.



Pokok induk yang sudah nampak tua. Yang bintang-bintang itu adalah terbitan pokok pepanggil. Duduk dekat-dekat dengan pokok mulberi :)



Inilah rupa bentuk bunga yang dinanti di Petak Hijau.


Gambar kredit kepada kebunbahagiabersama.blogspot.com


Wednesday, November 13, 2013

Pokok Kembang Bugang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan dan pengunjung yang budiman,

White Butterfly atau Kembang Bugang telah pun berbunga di Petak Hijau. Disebabkan tukang kebun Petak Hijau ini sibuk dengan hal dunia kerjayanya, tak sempat nak melihat pokok ini meriah berbunga. Semasa mengambil gambar ini, bunganya pun macam dah nak layu. Tetapi, masya Allah, memang cantik ciptaan Allah. Kelihatan bunga ini seperti seekor rama-rama putih. Maklumat lanjut boleh dibaca di sini untuk melihat kegunaan tradisional pokok ini. Pokok ini dibeli dari kebunbahagiabersama.blogspot.com.


Tuesday, November 12, 2013

Nostalgia Keembung di Lenggong

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pengunjung-pengunjung yang dikasihi Allah,

Pokok bunga balsam atau nama yang selalu saya panggil di kampung ~ keembung, mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak kepada saya. Semasa di saya tinggal di kampung bersama nenek dan datuk di Lenggong, saya mempunyai seorang rakan sebaya, Umi Kalsom (Allahyarhamah). Kami mengusahakan sebuah kebun bunga berdekatan dengan rumahnya sebab seronok-seronok nak ada kebun bunga sendiri. Salah satu pokok bunga yang kami tanam ialah bunga keembung. Setiap kali balik sekolah atau cuti sekolah, kami pasti pusing satu kampung dan kampung-kampung sebelah sebab nak cari biji benih atau pokok bunga untuk diletakkan di kebun bunga ciptaan kami. Pokok bunga keembunglah yang senang didapati, dan senang nak ambil biji benihnya. Yang kami paling suka mengambil biji benihnya untuk diletup-letupkan! Seronok! :) Pelbagai jenis warna pokok keembung yang kami tanam. Indahnya waktu itu. Setelah nak masuk darjah 3, saya ikut ibu bapa saya berhijrah ke Kedah. Tiada lagi kebun bunga. Tiada lagi pokok keembung. Tapi nostalgia kebun bunga buatan sendiri masih terpahat di ingatan.

Biji benih pokok ini adalah daripada kebunbahagiabersama.blogspot.com. Biji benihnya memang mudah bercambah dan pokoknya senang hidup. Rupanya setelah di google, banyak juga khasiat pokok keembung ini. Seluruh pokok kecuali akar ada kegunaannya. Bacaan lanjut di sini. Saya bercadang mahu menambah koleksi keembung lagi. Mohon kepada yang sudi menjual biji benih keembung warna yang lain kepada saya, sila emel ke zamzurina@gmail.com. Saya sudi membelinya.



Biji benih keembung


gambar kredit kepada http://rubbertapperz.blogspot.com


Monday, November 11, 2013

Kacang panjang merah perlukan cahaya banyak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan dan pengunjung yang budiman,

Sedikit masa dahulu saya pernah cuba untuk tanam zuchinni di backyard di dalam pasu gantung. Entrinya di sini, tetapi tak menjadi. Tiada satu hasil pun yang menjadi. Banyak putik saja. Tidak pula menjadi buah. Kemudian saya cuba tanam kacang panjang merah. Alhamdulillah ada dapat juga merasa hasil dari pasu gantung di backyard ini. Kacang panjang memerlukan cahaya yang banyak, kerana itu ia tidak sesuai ditanam di sini.

Buat pengetahuan semua, di backyard ini terkena cahaya matahari tengah hari dan kadang-kadang tidak kena langsung. Jika ada rakan-rakan yang tercetus idea nak tanam apa di sini, mohon beritahu, saya akan cuba tanam :) Setakat ini, pokok yang hidup subur di kawasan backyard ini adalah pokok keladi belang dan episcia.


Sunday, November 10, 2013

Sirih Puteri Gergasi Berdaun Sangat Lebar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan kebun dan pengunjung yang dikasihi Allah,

Sungguh gagah sirih puteri ini memanjat tiang. Siri pertama sirih puteri boleh anda baca di sini. Masya Allah, daunnnya kini sungguh besar, sebesar 5-6 kali kedua tapak tangan saya.  Sejauh mana engkau boleh panjat wahai sirih puteri?



Saturday, November 9, 2013

Kejutan Jumaat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Semalam pada hari Jumaat yang indah, tatkala terkocoh-kocoh ke pejabat kerana sudah lambat, saya terpandang juntaian buds berwarna ungu yang sangat menarik perhatian. Masya Allah! Water Hyacint saya sudah berbunga! Alhamdulillah. Lama juga menatap takjub sebab pertama kali tengok :) Water hyacinth ini saya beli dari kebunbahagiabersama.blogspot.com. Tidak sampai 2 bulan ia sudah berbunga. Memang berbunga- bunga hati saya pergi ke pejabat semalam!

Tidak tahu kepada siapa nak kongsi hati yang gembira, yang sama merasa, yang memahami, terus saya emelkan kepada Diana. Terima kasih Diana, pagi-pagi buta kene layan orang teruja tgk bunga water hyacinth sendiri. Menurut Diana ia akan kembang pada hari yang sama juga. Memang betul bahawa semalam  semasa balik dari kerja (sampai rumah pukul 8.30 malam), bunganya sudah berkembang. Pergi kerja berbunga hati, balik kerja pun berbunga hati. Lihat nikmat ingat PEMBERI nikmat. Semalam alhamdulillah, aura positif saja semuanya! Go go away negative aura! :)




Tatkala saya ralit membelek kudupan-kudupan ungu, smallkid memanggil-manggil untuk menunjukkan buah baru kepada saya. Anak-anak saya semua kaki buat laporan tentang pokok-pokok di Petak Hijau. Sempat lagi bergambar tolong saya angkat supaya jelas rupa terungnya :) Terung pendek naga ini saya beli dari tanamsendiri.com. Pokoknya sudah agak tua tetapi masih memberi hasil sebiji dua. Alhamdulillah. Bersyukur dengan apa yang Allah beri, elakkan merungut. Jalan terus! :)





Friday, November 8, 2013

Hasil Tuaian Pembuka 1435H

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Tahun Islam memberikan signifikan kepada saya kerana dua digit terakhir bersamaan dengan umur saya :)! I am getting older! Alhamdulilah, setelah lama tidak menuai hasil di kebun, tuaian pembuka 1435H menggembirakan hati Mr Chef. Hasil tuaian kali ini macam-macam Mr Chef masak. Terima kasih Mr Chef yang budiman.

Antara hasil tuaian adalah, 
+ Kobis
+ Tampaka
+ Ulam Raja
+ Bayam Malabar Merah
+ Roselle
+ Bunga Misai Kucing
+ Kacang panjang merah
+ Biji benih balsam

Kesemuanya kecuali bunga misai kucing dan biji benih balsam Mr Chef gunakan dalam masakannya. Kobis tak sempat nak membentuk bebola sudah kami tuai. Lama sangat nak tunggu, setiap hari kobis macam memanggil-manggil suruh dituai :)



Tinggal beberapa tompok saja lagi kobis. Wahai kobis, mohonlah jadi bebola!



Tampaka ini dibeli dari kebunbahagiabersama.blogspot.com. Menurut Diana ia digunakan sebagai ubat tradisional untuk membantu menambahkan darah atau mencuci/membersihkan darah dalam badan. Saya tuai juga sebab nak cuba letak dalam masakan walaupun Diana kata setahun baru boleh nampak bebawangnya.



[kiri] Kobis dan kacang panjang dimasak budu. [kanan] Sup sayur tomato, tampaka dan bayam malabar merah. Kids suka! ^_^



Ini satu-satunya lauk kami pada 1 Muharram yang lepas, Ikan bakar. Ikan jenahak segar ini kami beli pasar malam Alor Setar Zulhijjah yang lepas dengan harga yang jauh lebih murah daripada Shah Alam sini. Tentulah!  Lauk ikan bakar, di makan bersama 3 jenis hidangan sayur (termasuk ulam raja) dan makan cicah dengan budu! Terima kasih banyak-banyak kepada Mr Chef kerana menggembirakan kami dengan makanan yang sedap!



Kids pula sanggup simpan sikit bahagian mereka untuk diberikan kepada Wolf. Kucing kongsi dengan jiran. Wolf tak pandang sudah makanan kucing apabila melihat ikan bakar segar di depan mata. Mr Chef pula memang rajin melayan mereka jika ia berkaitan kucing. Keluarga mertua saya memang sangat sukakan kucing. Like grandfather, like grandson. Jika menelefon Tok Wan bertanya khabar, setelah bertanya tentang kesihatan Tok Wan, soalan kedua mesti tanya pasal Comel. Kucing kesayangan Tok Wan. Inilah cucu Hussain bin Hassan yang sungguh obses dengan kucing.




Tuesday, November 5, 2013

Ukhwah Kucai dan Mak Aji

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pembaca yang budiman,

Masya Allah, Allahuakbar! Saya sungguh suka dapat berjumpa dengan Ummu Madihah atau nama popular Mak Aji pada Ahad yang lepas. Mak Aji mahukan kucai yang saya buat giveaway pada entri saya yang lepas. Mak Aji yang datang bersama dua orang menantunya, hampir pulang kerana bagi salam tiada siapa yang menyahut. Ya ampun Mak Aji, saya tengah seterika baju di bilik belakang. Syukurlah Mr Chef yang tengah tidur tu dengar. Saya terpaksa buat lambaian kasih dari tingkap atas sebab nak panggil tak tahu siapa yang datang. Mujurlah Mak Aji perkenalkan diri.

Malu juga dengan Mak Aji, datang tatkala Petak Hijau tengah semak samun. Nak panggil Amir si pemotong rumput kesian pula hujan-hujan nak datang potong rumput.


Ini adalah pemberian Mak Aji. Masya Allah, banyak betul. Rasa macam sistem barter berat sebelah. Saya hanya beri sepasu kucai saja. Tak terfikir tadi nak bagu pokok-pokok lain yang ada sebab terkejut Mak Aji datang. Syukur juga saya ada di rumah. Sudah takdir Allah kami berjumpa dan bersembang pada petang hujan renyai-renyai itu. Terima kasih banyak-banyak Mak Aji. Buat pengetahuan Mak Aji, saya telah semai semua yang Mak Aji beri sejurus Mak Aji pergi. Teruja sungguh!
Mak Aji beri saya
+ Hempedu bumi
+ Kunyit hitam
+ Bunga raya inverted color
+ Pokok bunga trumpet 



Sempat bergambar dengan Mak Aji yang sporting sangat! Potong badan saya separuh sebab lebar benar nampak :) Kucai yang menjadi pemula ukhwah kami :) Kucai telah mendapat tuan baru yang lebih baik :)



Monday, November 4, 2013

Impian rimbunan Roselle menjadi kenyataan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang budiman,

Sudah lama dipendam impian untuk mempunyai rimbunan pokok roselle di laman rumah. Inspirasi adalah daripada rimbunan pokok roselle dari Diana dan jiran mak saya di kampung. Alhamdulillah, impian saya telah menjadi kenyataan. Kini kami dapat menikmati hasil jus roselle daripada kebun sendiri. Ini adalah kali ketiga pokok dituai dan buah roselle semakin banyak! Buahnya juga tebal dan besar walaupun tak letak baja sudah berbulan-bulan lamanya. Alhamdulillah syukur.


Ini adalah gambar lama, 2-3 minggu lepas. Semasa entri ini ditulis, pokok-pokok roselle rebah ke bumi kerana hari hujan yang lebat sangat atau banyak sangat bunga-bunga yang menjadi.  Rimbunan dari beberapa pokok sahaja tapi alhamdulillah dapat beri hasil yang baik. Harapannya hujung minggu ni boleh lagi buat Jus roselle kegemaran kami sekeluarga.



Hasil tuaian Sabtu 2 November 2013. Tuaian bersama sebiji bendi :) Mr Chef guna untuk buat sup masam yang sangat sedap! 



Hasilnya dapat 4 liter jus roselle yang pekat. 2 Liter untuk setiap fridge water bottle. Jus ini tanpa gula. Rasa manis-manis buah dan masam sikit memang nyaman untuk diminum walaupun semasa musim hujan :)



Di antara khasiat jus roselle yang menarik minat saya adalah :
+ melambatkan proses penuaan
+ Stress/ sukar tidur
+ Mengubati pening kepala/migraine

dan banyak lagi khasiat jus roselle dan boleh rujuk di sini.

Pertanyaan : Apakah cara tukang-tukang kebun yang budiman lakukan untuk mengelakkan pokok-pokok yang tinggi ini jatuh rebah ke bumi? Saya harap tukang kebun semua dapat kongsi pengalaman menggunakan cara masing-masing. Terima kasih.